Hilang kerja, terpaksa jual koleksi kasut Converse RM40,800

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KOTA BHARU – Seorang pengumpul kasut vintaj dari Pengkalan Chepa di sini terpaksa melepaskan sepasang koleksi kasut Converse model pertama dunia yang berusia 104 tahun dengan harga RM40,800.

Wan Irfayuim Azim Wan Ab Aziz, 31, berkata, dia perlu meneruskan kelangsungan hidup selepas hilang pekerjaan pandemik Covid-19.

Dia yang sebelum ini bekerja di Jepun dalam sektor pelancongan terpaksa pulang ke Malaysia empat hari sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 1.0) pada Mac tahun lalu.

“Saya terkilan apabila terpaksa melepaskan kasut yang dibeli empat tahun lalu dengan sepasang suami isteri dari Amerika Syarikat.

“Demi meneruskan kelangsungan hidup, walaupun sayang saya terpaksa menjual ‘aset’ itu kepada seorang lelaki dari Kuantan, Pahang yang sanggup membayar dengan jumlah yang ditawarkan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Menurutnya, hasrat menjual kasut itu dimuat naik di Facebooknya pada Sabtu dan setengah jam kemudian lelaki berkenaan menghubungi untuk membeli barangan itu.

Beliau berkata, kasut tersebut dijual bersama sepasang seluar pendek dan pelindung lutut bola keranjang yang dihasilkan pada tahun 1916.

Wan Irfayuim Azim berkata, kasut itu pernah dipakai oleh pemain bola keranjang daripada Amerika Syarikat suatu ketika dahulu.

Dia berkata, harga yang ditawarkan murah jika dibandingkan dengan nilai sebenar kasut tersebut.

“Saya berharap pemilik baharu ini akan ‘menjaga’ dan menyimpan kasut tersebut dengan baik kerana ia mempunyai nilai sejarah yang tersendiri.

“Niat saya menjual kasut tersebut kerana desakan ekonomi yang makin meruncing ketika ini,” katanya.

SUMBER: Sinar Harian