Hojlund Akhiri Kemarau Jaringan Liga

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

MANCHESTER: Rasmus Hojlund melengkapkan kebangkitan Manchester United yang ketinggalan dua gol sebelum menewaskan Aston Villa 3-2.

Penyerang Denmark itu meledak gol Liga Perdana Inggeris pertamanya untuk kemenangan United di Old Trafford.

Skuad kendalian Erik ten Hag di ambang satu lagi kekalahan selepas John McGinn dan Leander Dendoncker meletakkan Villa di depan sebelum rehat.

United dicemuh penyokong sendiri sebaik tamat babak pertama tetapi mereka kembali lebih bertenaga selepas rehat dengan Alejandro Garnacho mengakhiri kemarau jaringan Red Devils.Garnacho menyamakan kedudukan sebelum Hojlund meledak gol liga pertamanya ketika permainan berbaki lapan minit.

Ia adalah gol liga pertama penyerang Denmark itu dalam 15 penampilan dan gol keenam dalam semua pertandingan sejak berpindah dari Atalanta pada Ogos.

Jaringan Hojlund itu menamatkan deretan empat perlawanan tanpa kemenangan United dan melonjak mereka ke tangga keenam Liga Perdana Inggeris.

“Ketika rehat saya berkata kepada pasukan, ‘kekal yakin’. Suasana sangat berbeza daripada babak pertama ke babak kedua.

“Jika kami bermain pada prestasi terbaik kami, kami mampu menewaskan sesiapa sahaja. Walaupun selepas ketinggalan dua gol. Hari ini mereka membuktikan yang kami mempunyai personaliti untuk melakukannya,” kata Ten Hag.

Dua perlawanan tanpa kemenangan menjejaskan harapan Villa untuk bersaing merebut kejuaraan musim ini.

Skuad kendalian Unai Emery kekal di tangga ketiga, tiga mata di belakang pendahulu, Liverpool selepas mereka tewas buat pertama kali dalam 11 perlawanan.

“Dua minggu lalu saya ditanya sama ada kami adalah pesaing kejuaraan dan saya jawab tidak. Kenapa? Kerana kami menentang pasukan-pasukan hebat yang lebih layak berbanding kami,” kata Emery. – AFP