Hojlund Penuhi Impian Sertai United

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

LONDON – Manchester United mengikat penyerang Denmark, Rasmus Hojlund dari Atalanta dengan yuran perpindahan dilaporkan £64 juta (RM372 juta) hari ini.

Hojlund bersetuju memeterai kontrak lima tahun dengan pilihan tambahan semusim lagi ketika pengurus Erik ten Hag akhirnya memenuhi harapannya untuk membawa masuk seorang penyerang menjelang kempen baharu Liga Perdana Inggeris (EPL).

United bagaimanapun mungkin perlu membayar tambahan £8 juta (RM46 juta) terhadap pemain berusia 20 tahun itu jika klausa tambahan dalam kontraknya dipenuhi.

“Bukan satu rahsia saya menjadi peminat kelab hebat ini sejak kecil lagi dan saya memang mengimpikan untuk memasuki padang di Old Trafford sebagai pemain Manchester united,” kata Hojlund.

“Saya terlalu teruja dengan peluang ini yang menjadikan impian satu realiti dan saya berazam untuk membalas kepercayaan yang diberikan kelab terhadap saya.

“Ia masih awal dalam karier saya tetapi saya sedar sudah membuat langkahan bermakna ini untuk bermain dalam kelompok pemain bertaraf dunia.”

Ten Hag menjadikan Hojlund sasaran utamanya selepas United dilaporkan enggan membayar harga yang diminta Tottenham bagi mendapatkan khidmat penyerang England, Harry Kane yang kini dijangka menyertai kelab juara Jerman, Bayern Munich.

Juara Perancis, Paris Saint-Germain turut dikatakan memburu tandatangan Hojlund sebelum United memenangi perebutan ke atasnya.

Ten Hag berusaha untuk memperkasakan pilihan serangannya selepas musim yang mana pasukannya gagal mencetak banyak gol.

United berakhir di tangga ketiga EPL namun hanya menjaringkan 58 gol – 36 gol kurang berbanding juara Manchester City.

Hojlund adalah pembelian ketiga terbesar di Old Trafford pada jendela musim panas kali ini selepas mengikat pemain tengah Chelsea, Mason Mount dan penjaga gol Inter Milan, Andre Onana.

Penyerang Denmark itu mungkin boleh membuat kemunculan sulung kompetitif buat United menentang Wolves di Old Trafford pada aksi pembukaan EPL pada 14 Ogos ini.

– BERITA HARIAN