Hormati Sensitiviti Muslim

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Baru-baru ini, negara dikejutkan dengan pengeluaran produk baharu arak jenama tempatan yang dikeluarkan oleh Winepak Corporation. Produk tersebut dilancarkan secara rasmi pada 7 Oktober 2021. 

Apa yang lebih mengejutkan, arak tersebut mengguna pakai jenama ‘Timah’ dan berlatarbelakangkan gambar seorang lelaki yang berjanggut serta memakai penutup kepala seperti seorang Muslim.

Hal ini mencetuskan kontroversi dalam kalangan masyarakat, khususnya masyarakat Islam kerana ia dilihat seolah-olah tidak menjaga sensitiviti orang Islam dalam negara ini, yang juga penduduk majoriti.

Selain itu, perbuatan tersebut juga menimbulkan persepsi seolah-olah ada agenda tersembunyi seperti ingin menormalisasi budaya arak dalam kalangan masyarakat Melayu Muslim.

Bagaimanapun, dalam kenyataan rasmi mereka pada 15 Oktober 2021, syarikat terbabit menafikan segala dakwaan dan menjelaskan bahawa nama ‘Timah’ yang terdapat pada label botol merujuk kepada bijih timah pada era pelombongan bijih timah semasa pemerintahan British di Malaya suatu masa dahulu. 

Gambar lelaki itu pula bertujuan untuk memperkenalkan budaya minuman berkenaan pada era pentadbiran British iaitu Kapten Speedy. Isu ini perlu diberi perhatian yang serius oleh pihak berwajib kerana ia melibatkan sensitiviti umat Islam dan keharmonian hidup bermasyarakat di negara ini. 

Bagi umat Islam pengharaman arak adalah satu prinsip yang jelas dan apa-apa yang berkaitan dengannya adalah perkara wajib dijauhi. Dalam Islam, arak dan segala minuman yang memabukkan adalah haram. 

Hal ini adalah berdasarkan firman Allah SWT bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Ketahuilah sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan anak panah ialah perbuatan yang keji daripada amalan syaitan. Oleh itu, hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”  (Surah al-Maidah: 90)

Dalam ayat di atas, perkataan ‘rijsun’ daripada segi bahasa bermaksud kotor dan najis.

Dalam ayat tersebut, penggunaan lafaz ‘al-Ijtinab’ (yakni menjauhi arak) menunjukkan bahawa tegahan dan pengharamannya adalah lebih kuat dan menyeluruh berbanding penggunaan lafaz  tahrim ‘al-Syurb’  (yakni tegahan meminum arak) semata-mata.

Ini disebabkan tegahan meminumnya sahaja tidak merangkumi tegahan lain yang berkaitan dengannya seperti membeli arak, menjualnya dan lain-lain. 

Perintah menjauhinya pula merangkumi setiap sudut perkara yang berkaitan dengan arak, termasuk minum dan urusan lain yang berkaitan dengannya.

Sehubungan itu, kita diperintahkan untuk meninggalkan semua perkara tersebut kerana kejayaan (di dunia dan akhirat) tidak akan dapat dicapai melainkan dengan meninggalkan perkara yang diharamkan oleh Allah SWT.

Terdapat sebuah hadis yang jelas melarang daripada sebarang penglibatan berkaitan arak sebagaimana diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA, beliau berkata:  “Rasulullah SAW melaknat sepuluh golongan yang ada hubung kait dengan arak.

Golongan tersebut adalah orang yang memerah arak, orang yang meminta arak diperah, orang yang meminumnya, orang yang membawanya, orang yang dibawa kepadanya, orang yang menuangkan arak, orang yang menjualnya, orang yang memakan hasil jualan arak, orang yang membeli arak dan yang dijual untuknya.” (Riwayat al-Tirmizi, 1295)

Tindakan mengguna pakai nama Timah sebagai jenama arak adalah tidak wajar dan boleh dianggap satu tindakan yang mencabar sensitiviti umat Islam. Hal ini kerana, penggunaan nama berkenaan boleh menimbulkan pelbagai konotasi yang tidak baik.

Lebih-lebih lagi, nama Timah itu juga sudah sinonim dalam masyarakat Melayu. Malah, tindakan memilih dan menggunakan gambar Kapten Speedy yang memakai penutup kepala juga, dilihat seolah-olah menjadi tanda bahawa produk ini keluaran Melayu Muslim sedangkan arak adalah satu perkara yang sangat ditegah dalam Islam.

Sebarang isu sensitiviti agama dan kaum mestilah dijauhkan kerana ia boleh menjurus berlakunya kemudaratan, sedangkan sebarang kemudaratan mestilah ditegah apatah lagi yang membabitkan perkara yang sensitif. 

Ini bertepatan dengan satu kaedah fiqh yang menyebut:  Kemudaratan itu hendaklah dicegah semampu yang mungkin. (al-Qawaid al-Fiqhiyyah wa Tatbiqatuha fi al-Mazahib al-Arba’ah)

Meskipun sebahagian pihak akan mengemukakan pelbagai alasan untuk membenarkan jenama arak ini, namun syarak menegaskan bahawa segala perkara yang mempunyai unsur kemudaratan hendaklah dicegah semampu yang boleh, lebih-lebih lagi umat Islam sebagai penduduk majoriti di negara ini.

Penolakan ini juga berdasarkan kepada kaedah Sadd al-Zarai yakni menutup jalan yang boleh membawa kepada kerosakan ataupun keburukan. Hal ini kerana, kami melihat perkara ini sekiranya dibiarkan dan dibuka seluasnya, dikhuatiri akan menimbulkan kekeliruan seolah-olah budaya arak merupakan budaya masyarakat Melayu Islam.

Sehubungan itu, pihak kerajaan perlu mengambil tindakan untuk menyelesaikan isu ini, dengan memastikan kemaslahatan rakyat terjaga dan juga kemudaratan ke atas rakyat turut terhindar.

Kaedah fiqh ada menyebut:  “Polisi dan tindakan pemerintah mestilah tertakluk kepada maslahat rakyat.” (al-Qawaid al-Fiqhiyyah wa Tatbiqatuha fi al-Mazahib al-Arba’ah)

Dalam hal ini, maslahat atau kebaikan menjaga keharmonian negara dalam kalangan masyarakat daripada timbulnya huru-hara dengan melarang penggunaan jenama yang sensitif ini adalah lebih besar berbanding membiarkannya.

Selain itu, ia juga akan dapat meminimumkan mafsadah yang mungkin berlaku dalam kalangan masyarakat akibat daripada arak tersebut. Maka, tindakan tegas daripada pihak berwajib amat perlu dalam menangani permasalahan ini.

Penggunaan jenama arak dengan perkataan bahasa Melayu seperti Timah ini amatlah tidak wajar sama sekali. Ia mesti ditarik dan diubah serta-merta, di samping gambar yang digunakan juga hendaklah tidak menyentuh sensitiviti masyarakat Islam yang juga penduduk majoriti, demi keharmonian negara.

Adalah dinasihatkan pihak berkaitan agar lebih sensitif dan peka terhadap isu sebegini yang berpotensi mengancam perpaduan dan keamanan masyarakat berbilang kaum. 

Memelihara kerukunan masyarakat dan tidak melanggar batas-batas yang boleh mengancam kestabilan hidup dan menggugat keharmonian umat Islam adalah menjadi teras kestabilan negara ini.

Sumber: HARIAN METRO