Hoshas tidak ditutup

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuantan: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang menafikan Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) di Temerloh ditutup akibat kes kluster Covid-19 seperti yang tular di media sosial.

Pengarahnya, Datuk Dr Bahari Che Awang Ngah berkata, setakat ini, Hoshah masih beroperasi seperti biasa dan pihaknya ingin memaklumkan bahawa keadaan adalah terkawal kerana hanya bahagian yang tertentu ditutup.

Katanya, penutupan sementara itu membabitkan klinik pakar, Unit Rawatan Harian, Unit Hemodialisis dan Jabatan Rehabilitasi dilaksanakan semalam hingga 20 Jun ini.

“Dalam kes ini, JKN Pahang ingin mengambil perhatian semua berhubung peningkatan kes Covid-19 membabitkan kakitangan dan pesakit di Hoshas.

“Penularan jangkitan berlaku di wad biasa, bukannya di wad yang dikhaskan untuk pesakit Covid-19.

“Dengan pemakaian peralatan perlindungan peribadi (PPE) Aras 2, kebarangkalian jangkitan masih boleh berlaku,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, susulan kes itu, penilaian risiko dibuat ke atas semua pesakit di wad dan kakitangan kesihatan.

Katanya, semua individu yang diklasifikasikan sebagai kontak rapat kepada kes positif dibuat saringan Covid-19.

“Pesakit yang terdedah kepada risiko jangkitan tetapi masih negatif diasingkan di bilik isolasi dan akan diambil sampel ulangan.

“Semua kakitangan Hoshah yang diklasifikasikan sebagai kontak rapat sudah dikuarantin.

“Aktiviti kawalan dan pencegahan sudah dilaksanakan oleh pihak pengurusan hospital dan wad yang terbabit sudah ditutup sementara untuk kemasukan pesakit baharu bagi melaksanakan aktiviti dekontaminasi,” katanya.

Sumber: My Metro