Hospital Sultan Haji Ahmad Shah masih beroperasi

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN: Operasi Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh masih berjalan lancar walaupun ada penularan COVID-19 dalam kalangan pesakit hospital terbabit.

Pengarah Jabatan Kesihatan Pahang, Datuk Dr Bahari Che Awang Ngah, berkata kawalan sedang dilaksanakan bagi menghentikan penularan jangkitan.

Katanya, sehingga kini, sebanyak 37 kes COVID-19 dikesan di hospital berkenaan dan penularan jangkitan berlaku di wad biasa, bukannya di wad yang dikhaskan untuk pesakit COVID-19.

“Penilaian risiko sudah dilakukan kepada semua terbabit, manakala kontak rapat kepada kes positif dibuat saringan COVID-19 dan diasingkan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Bagi memastikan keselamatan semua pesakit baharu dan pelawat, beliau berkata, semua wad sudah ditutup untuk kemasukan baharu kecuali bagi kes kritikal.

Dr Bahari berkata, perkhidmatan kecemasan, perbidanan (obstetrik) dan paediatrik masih beroperasi.

“Semua pesakit yang tidak kritikal tetapi memerlukan kemasukan ke hospital akan dialihkan ke hospital lain di Pahang,”katanya.

Sumber: Berita Harian