TUMPAT: Kegembiraan memiliki cahaya mata selepas 10 tahun perkahwinan bertukar duka apabila bayi lelaki yang dilahirkan menghidap pelbagai komplikasi.
Muhammad Hud Hanif Harizan yang kini berusia 16 bulan dilahirkan dengan masalah paru-paru berair, skoliosis (tulang belakang bengkok), hernia dan tiroid.
Saiz tubuh bayi istimewa itu juga kelihatan kecil malah di usia itu, Hud Hanif masih belum mampu merangkak atau berjalan.
Ibunya, Cik Norhazilawati Che Sulaiman, 33, berkata, sebaik dilahirkan, bayinya itu terus dirawat di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) selama dua bulan berikutan semua komplikasi terbabit.
“Sejak itu, Hud sering keluar masuk hospital kerana kerap sakit dan sebulan sekali pula perlu dirujuk pelbagai pakar perubatan sama ada di Hospital Tumpat atau Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu.
“Anak saya juga dikesan menghidap angin pasang (hernia) dan baru beberapa bulan menjalani pembedahan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Periok, di sini, hari ini.
Cik Norhazilawati berkata, setakat ini Hud Hanif hanya mampu meniarap saja selain masih tidak dapat bercakap seperti bayi normal seusianya.
Berhubung keadaan tulang bengkok yang dialami Hud Hanif pula, Cik Norhazilawati berkata, doktor memaklumkan akan dilakukan satu pembedahan namun belum diberitahu secara terperinci.
“Buat masa sekarang saya ingin menumpukan perhatian untuk masalah paru-paru berair Hud dulu dan apabila usianya sedikit meningkat barulah beralih kepada masalah tulang bengkoknya.
“Lagipun kami belum ada wang mencukupi sebagai persediaan untuk menghadapi pembedahan itu memandangkan suami hanya bekerja kampung saja dan pendapatan cukup-cukup untuk kelangsungan hidup kami,” katanya.
Cik Norhazilawati yang juga pemegang kad orang kurang upaya (OKU) kategori masalah pembelajaran berkata, anak tunggalnya itu perlu diberikan susu khas dan dengan kekangan kewangan yang mereka hadapi, kos pembelian susu khas agak membebankan mereka.
Katanya lagi, mujurlah dia mendapat bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM450 sebulan dan elaun itu diperuntukkan untuk pembelian susu khas Hud Hanif.
Terdahulu mereka menerima kunjungan badan bukan kerajaan (NGO) Cempaka Merah Asnaf Society yang diwakili pengerusinya, Che Norhayati Mohamed yang hadir menghulurkan makanan asas dan wang zakat.
Bagi yang ingin membantu boleh memberikan sumbangan ke akaun Maybank miliknya iaitu 153092022491.
Sumber: METRO