Hujan Berterusan Di Lima Negeri Sehingga Hujung Minggu

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran waspada berlaku hujan berterusan sepanjang minggu ini di beberapa daerah di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan Sabah.

Menerusi laman Facebooknya, MetMalaysia memaklumkan hampir keseluruhan daerah di Kelantan iaitu Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai dijangka mengalami cuaca berkenaan.

“Hujan berterusan di seluruh Terengganu dan di Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan serta Rompin, Pahang. Di Johor pula adalah di daerah Mersing. Kesemuanya adalah dalam tempoh Khamis sehingga Sabtu ini,” katanya.

Menurut kenyataan itu, hujan berterusan sehingga Ahad ini dijangka berlaku di Tawau (Lahad Datu), Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan) dan Kudat.

Amaran hujan berterusan (waspada) dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan hujan atau ribut petir sedang atau dijangka berlaku melebihi enam jam dalam tempoh itu di sesebuah kawasan.

Sumber: HARIAN METRO