Hukum Amalan Sedekah Dari Nilai Timbangan Rambut Bayi

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Akikah dan cukur rambut bayi merupakan salah satu amalan sunat yang dilakukan oleh ibu bapa terhadap bayinya yang baru lahir. Sebagaimana dalam sebuah hadis yang telah diriwayatkan oleh Samurah bin Jundub RA, Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud:

 “Bayi itu tertebus dengan akikahnya. Disembelih (akikah) untuknya pada hari yang ketujuh, dicukur rambutnya dan diberikan nama.” (Hadis Riwayat Abu Daud, No. 1522)

Antara amalan masyarakat kita yang sering dilihat adalah selepas rambut bayi dicukur, ia akan ditimbang dan nilai daripada timbangan itu akan disedekahkan sama ada dengan nilai emas dan perak.

Adakah amalan ini termasuk dalam perbuatan sunah atau adat sahaja?

Mufti Wilayah telah memberi penjelasan bahawa perbuatan mencukur rambut bayi dan menimbangnya adalah perbuatan yang pernah dianjur oleh Rasulullah SAW. Nilai dari timbangan itu yang akan disedekahkan dengan mengambil bukti kesyukuran kepada Allah SWT di atas kelahiran cahaya mata.

Hal ini sebagaimana diriwayatkan dalam hadis daripada Saidina Ali, katanya Rasulullah mengakikahkan seekor kambing kepada Al-Hasan dan beliau telah bersabda yang bermaksud:

 “Wahai Fatimah, cukurlah rambutnya dan bersedekahlah perak mengikut berat rambut tersebut.” Ali berkata: “Fatimah pun menimbang rambut itu dan mendapati beratnya satu dirham atau setengah dirham.” (Hadis Riwayat Tirmizi, No. 1519)

Ulama berpendapat bahawa hukum bersedekah dengan nilai timbangan rambut bayi adalah sunat berdasarkan dalil yang dinyatakan di atas. Manakala, ulama dari Mazhab Syafi’e dan Maliki berpendapat bahawa nilai sedekah itu adalah disamakan dengan nilai emas dan perak.

Kesimpulannya, perbuatan sedekah dari hasil timbangan rambut adalah diniatkan dengan sedekah sahaja. Sebagaimana dalam salah faham masyarakat kita yang menganggap bahawa ia adalah zakat rambut bayi. Hal ini kerana, dalam syariat Islam, tiada istilah tersebut.

Oleh itu hukumnya adalah sunat sebagaimana yang dianjurkan oleh Baginda SAW. Namun, jika tidak dicukur rambutnya, boleh juga menyedekahkan dengan anggaran sahaja dan mengikut kemampuan.

Sumber: MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN