Terdapat sebilangan kaum lelaki yang turut sama menjadikan amalan dengan memakai inai di jari mereka ketika majlis pertunangan atau hari persandingan mereka. Ia boleh dikatakan meluas dan menjadi kelaziman bagi kaum adam memakainya di hari persandingan.
Persoalannya, adakah ianya dibenarkan dalam syarak?
Inai pada asalnya adalah perhiasan untuk kaum wanita dan adalah digalakkan bagi wanita untuk mengenakan inai di jari-jemari mereka. Ini adalah seperti yang diriwayatkan dalam sebuah hadis, daripada ‘Aisyah:
Seorang wanita memberikan isyarat dari belakang tabir bagi menunjukkan pada tangannya ada surat untuk diberikan kepada Rasulullah.
Maka Nabi menggenggam menutup tangannya lalu berkata: “Aku tidak tahu adakah ini tangan lelaki ataupun tangan perempuan?”. Jawab perempuan tersebut: “Perempuan”. Lalu baginda berkata: “Jikalau kamu ini perempuan, nescaya akan lakukan perubahan pada kuku-kuku kamu (iaitu dengan inai)”. (Hadis Riwayat Abu Daud 4166)
Dr. Yusuf al-Qardhawi berkata, terdapat larangan daripada Imam as-Syafi’e rahimahullah tentang perbuatan lelaki berinai kecuali bagi tujuan perubatan sahaja.
Contoh tujuan perubatan ialah seperti berinai untuk merawat penyakit kuku dan uban. Perbuatan berinai merupakan amalan dan perhiasan yang sinonim bagi kaum wanita sahaja.
Perbuatan menyerupai wanita tidak kira dari segi pakaian mahupun perhiasan adalah ditegah di dalam Islam. Sabda Rasulullah daripada Ibn ‘Abbas:
Rasulullah telah melaknat golongan lelaki yang menyerupai wanita dan golongan wanita yang menyerupai lelaki. (Hadis Riwayat Bukhari 5885)
Lafaz laknat jelas menunjukkan ia adalah sesuatu yang haram dan akan dilaknat Allah.
Pemakaian inai bagi lelaki kebiasaannya bukanlah pada keseluruhan tangan tetapi hanya di hujung 3 jari mereka. Perkara ini tiada asal dan manfaatnya kecuali untuk berubat tetapi telah menjadi kelaziman dalam masyarakat sedangkan ianya adalah sesuatu yang jelas pengharamannya.
Imam an-Nawawi rahimahullah di dalam kitabnya al-Majmu’ berkata lelaki diharamkan memakai inai di tangan dan kaki kecuali pada rambut mereka. Namun begitu, lelaki dianjurkan untuk mewarnakan rambut atau janggutnya yang beruban dengan inai berdasarkan kepada hadis-hadis sahih. Antaranya ialah:
Uthman bin Abdullah bin Mauhab dia berkata: Aku pernah menemui Ummu Salamah lalu dia mengeluarkan kepada kami beberapa helai rambut Rasulullah SAW yang telah diwarnai dengan inai. (Hadis Riwayat Bukhari 5447)
Membuat inai bercorak, ukiran daun dan bunga tumbuh-tumbuhan adalah dibenarkan tetapi haruslah tidak berlebihan. Ukiran seperti haiwan, lambang dewa-dewi atau apa-apa yang berkaitan dengan agama lain serta bertentangan dengan syarak adalah dilarang sama sekali.
Pemakaian inai perlulah dihadkan pemakaiannya iaitu sehingga pergelangan tangan dan buku lali sahaja. Semoga kita sentiasa diberikan hidayah oleh Allah untuk melakukan segala perkara mengikut apa yang Allah suka dan bukan Allah murka.
Sumber: MSTAR