Hungary Lakar Kejutan ke Atas England

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

BUDAPEST – Pengendali England Gareth Southgate menyalahkan keletihan akibat musim yang panjang sebagai punca kekalahan pertama The Three Lions di tangan Hungary dalam tempoh 60 tahun.

Hungary menang 1-0 di Budapest apabila Dominik Szoboszlai meledak gol tunggal permainan menerusi sepakan penalti dalam aksi Liga Negara-Negara UEFA – kemenangan pertama mereka ke atas England sejak tahun 1962.

Kekalahan menerusi penentuan penalti di tangan Itali ketika final Euro 2020 adalah satu-satunya kekalahan skuad kendalian Southgate dalam 22 perlawanan sebelum itu.

Bagaimanapun skuad England gagal mengancam kubu tuan rumah, yang mendapat sokongan padu 30,000 penyokong terdiri daripada kanak-kanak sekolah.

“Mereka amat kecewa kerana kami mahu terus memenangi perlawanan. Jika kami mahu menjadi pasukan teratas dalam bola sepak, kami perlu datang ke sini dan menang.

“Musim yang panjang menyebabkan pemain-pemain keletihan,” kata Southgate.

Hungary terpaksa bermain tanpa penonton akibat tingkah laku sebahagian penyokong mereka ketika perlawanan di laman sendiri pada Euro 2020.

Bagaimanapun peraturan UEFA membolehkan kanak-kanak bawah usia 14 tahun diberi tiket percuma dengan syarat tertentu dan Persatuan Bolasepak Hungary memanfaatkan peraturan itu.

Skuad kendalian Southgate akan bertandang ke Jerman pada Selasa sebelum melayan kunjungan Itali dan Hungary.

Sumber: BERITA HARIAN