Ibn Al – Baitar: Bapa Ilmu Farmakologi

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Ibn Al-Baitar (1188–1248) merupakan nama saintis yang tidak asing lagi dalam dunia ilmuwan Islam yang hidup pada abad ke-13 . Beliau merupakan seorang pakar botani dan menghasilkan beberapa magnum opusnya yang terkenal sehingga ke hari ini. Di dunia barat, beliau dikenali sebagai Alpetragius. 

Mengenali Ibn Al-Baitar 

Nama penuh beliau ialah Ziyauddin Abu Muhammad Abdullah bin Ahmed al-Andalus al-Maliki. Ibn Al-Baitar merupakan gelaran ayahnya yang diteruskan. Beliau dilahirkan di Malaga, Andalus yang terletak di bumi Sepanyol. Ibnu Al-Baitar meninggal pada tahun 1248 M/646 H dalam usia 55 tahun di Damsyik. 

Seawal umur 20-an, beliau sering mengembara ke negara-negara bersebelahan untuk melakukan kajian dan mengutip data mengenai tumbuh-tumbuhan bermula di negara Afrika Utara iaitu Maghribi, Algeria, Tunisia, dan Libya. 

Kehebatan Ibn Al-Baitar berjaya menarik perhatian Khalifah Al-Malik Al-Kamil, Muhammad Ibn Abi Bakr Ibn Ayyub. Semasa Khalifah Al-Malik Al Kamil meluaskan empayarnya di Syam, Ibn Al-Baitar turut dibawanya. Di Mesir beliau pernah dilantik sebagai ketua ahli fizik dan farmasi yang mengawal selia mengenai ubat-ubatan serta yang berkaitan dengannya. 

Kehebatan Al-Baitar sebenarnya bertitik-tolak dari ayahnya sendiri yang merupakan seorang veterinar yang boleh merawat haiwan. Ayahnya banyak menggunakan herba yang diolah dari tumbuhan dan perkara itu yang menjentik minat Ibn Al-Baitar dalam mendalami tumbuh-tumbuhan. 

Antara guru Ibn Al-Baitar ialah Abu Abbas Al-Nabati dalam bidang kajian mengenai tumbuh-tumbuhan ini. 

Karya Ibn Al-Baitar 

Dunia perubatan terhutang budi kepada Al-Baitar kerana banyak ubat-ubatan yang digunakan hari ini dirintis dan dikenalkan oleh Ibn Al-Baitar. 

Antara karyanya yang terkenal ialah Kitab Al-Jami’ fi’l Adwiyyah Al-Mufradah yang mana ia merupakan hasil kajian beliau yang mendalam mengenai pokok-pokok yang terdapat di bumi serta bagaimana ia boleh dijadikan penawar perubatan pada zaman ini yang disusun mengikut abjad. 

Sebanyak 1400 jenis tumbuh-tumbuhan dan makanan untuk tujuan perubatan berjaya direkodkan. 200 daripada jumlah tersebut adalah tumbuhan yang tidak diketahui sebelum beliau menemuinya. 

Al-Mughnī fi al-Adwiyyah al-Mufradah merupakan buku beliau yang seterusnya. Terdapat lebih kurang 20 bab, mengenai ramuan sakit kepala, telinga, mata, untuk kosmetik, ramuan merawat demam, penangkal racun. Karya beliau telah diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa. 

Penemuan-penemuan Ibn Al-Baitar 

Semakin kita mendalami tentang tokoh ini, kita akan semakin kagum dengan Ibn Al-Baitar kerana banyak jasa beliau yang kita nikmati hari ini. 

Antaranya ialah penemuan pokok Hindiba (Chicorium intybus) sebagai pokok herba yang berperanan sebagai ubat-ubatan yang juga merupakan penawar anti kanser. Selain itu melalui penemuan-penemuan yang pelabagi ini, meliau mengklasifikasikan tumbuhan yang boleh diguna pakai untuk merawat, untuk dijadikan bahan kosmetik, untuk dijadikan  pewangi dan banyak lagi.