Ibnu Tufail, Tokoh Yang Berdakwah Melalui Penulisan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Ibnu Tufail atau nama sebenar beliau adalah Abu Bakar Ibnu Abd Al-Malik Ibn Muhammad Ibn Thufai merupakan seorang tokoh cendekiawan yang masyhur.

Beliau dikenali sebagai seorang penulis, ahli agama dan juga seorang doktor. Ilmu pengetahuan beliau bukan sahaja merangkumi bidang falsafah dan sastera bahkan meliputi ilmu matematik, astronomi dan perubatan.

Beliau telah  dilahirkan di Asya, Granada pada 1106 Masihi. Namanya begitu terkenal sekitar abad ke-12 Masihi sehingga beliau digelar dengan gelaran Abubacer oleh dunia Barat.

Beliau bukan sahaja berpengaruh dalam bidang penulisan. Beliau juga mempunyai pengaruh besar dalam pemerintahan sehingga dilantik sebagai menteri yang dihormati.

Pada awal kejayanya, beliau sangat aktif dalam bidang perubatan sehingga pernah menjadi doktor peribadi kepada pemerintahan Al-Muwahidin, Abu Yaakun Yusuf Al-Mashur yang merupakan khalifah Maghribi kedua daripada Dinasti Muwahhidun.

Meskipun beliau seorang yang sibuk dengan kerjayanya, namun beliau tidak pernah mensia-siakan bakatnya dalam bidang penulisan. Karya beliau banyak dikembangkan melalui syair, penulisan novel dan juga beberapa bidang ilmiah yang lain seperti astronomi, falsafah dan medikal.

Risalah Hayy Ibnu Yaqzan fi Asrar al-Hikmah Masyriqiyah merupakan karya yang paling terkenal dan dijadikan rujukan oleh sasterawan sehingga ke hari ini. Kitab ini mempersembahkan pemikirannya dalam bidang falsafah yang banyak dipengaruhi oleh falsafah Plato.

Gaya penulisan beliau dalam kitab itu juga turut menukilkan pengamatan beliau mengenai ilmu metafizik, fizik dan alam semesta.

1. Ibnu Tufail memasukkan unsur Islam melalui karyanya

Setiap karya beliau akan dimasukkan unsur ketuhanan agar pembaca boleh mengenal penciptanya dengan lebih dekat. Contohnya, melalui karya masyhur beliau iaitu Risalah Hayy, banyak diceritakan pengamatannya terhadap alam semesta yang ditadbir tuhan serta bagaimana watak yang dibawa itu boleh lebih dekat dengan tuhan.

2. Ibnu Tufail mengamalkan ilmu yang ada

Beliau menggunakan ilmu yang diperoleh dengan sebaik mungkin. Buktinya, beliau telah menjawat jawatan sebagai doktor peribadi kepada khalifah Maghribi kedua dan pernah menjadi menteri serta hakim.

Semasa beliau diberi kepercayaan untuk memegang amanah tersebut, beliau akan menerapkan ilmunya dengan sebaik mungkin dalam setiap perkara yang dilakukannya.

3. Ibnu Tufail meluangkan masa untuk penulisan

Walaupun beliau sibuk dengan kerjayanya sebagai seorang doktor namun beliau sentiasa mencari ruang dan masa untuk menulis. Baginya, penulisan adalah jiwa dan salah satu medan untuk menyebarkan ilmu.

Beliau telah meninggal dunia pada 1185 Masihi di Maghribi. Meskipun beliau telah meninggal dunia, namun karya-karya beliau masih hidup sehingga kini yang telah menginspirasikan ramai orang.

Sumber: Pemikiran Falsafah Ibnu Thufail & TZKRH.COM