Ibu berkorban teman empat anak di PKRC

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

DUNGUN: Demi kasih yang tidak terbanding, seorang ibu, Sutinah Saat, 37 menemani empat anaknya yang positif Covid-19 di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) kerana bimbang dengan keadaan gejala kesihatan mereka yang bergejala.

Sutinah berkata, kesemua mereka menjalani kuarantin di PKRC Universiti Teknologi Mara (UiTM) Chendering di Kuala Terengganu itu sehari sebelum menyambut Hari Raya Aidil Fitri pada 12 hingga 19 Mei lalu.

Katanya, tiga anaknya iaitu Nur Ummu Hani Mohd Zaid,13; Mohd Adam Nawawi,8; dan Mohd Al-Fatiqah,3 mendapat jangkitan tersebut selepas dua hari suaminya, Mohd Zaid Nordin, 42 pulih daripada virus berkenaan.

Menurut Sutinah, suaminya yang bertugas di pelantar minyak disahkan positif Covid-19 pada 6 Mei lalu dan menjalani kuarantin di PKRC Pusat Latihan Darul Iman (DITC), Kemaman.

“Selepas dua hari suami pulang dari PKRC, tiga anak pula disahkan positif dan saya mengambil keputusan menjalani kuarantin bersama kerana bimbang keadaan mereka yang masih kecil terutama anak bongsu yang hanya berumur tiga tahun.

“Sepanjang di sana, saya tidak dapat tidur malam kerana kesemua anak mempunyai gejala batuk, demam dan sakit sendi dengan anak perempuan turut mengalami kekejangan,” katanya.

Sutinah berkata, selang beberapa hari mereka menghuni PKRC, anak sulungnya, Mohd Suhaimi Fitri,18, pula disahkan positif Covid-19 dan turut dibawa ke pusat sama lalu meninggalkan suaminya berseorangan di rumah.

Katanya, ketika di PKRC, dia sentiasa berwaspada dengan mematuhi setiap prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi memastikan dirinya tidak dijangkiti di samping anak-anak cepat sembuh.

“Walaupun keluarga positif virus itu, tetapi saya bersyukur kerana keputusan ujian saringan Covid-19 yang dilakukan sebanyak empat kali adalah negatif dan mungkin ini hikmah Allah SWT agar saya terus kuat untuk menjaga anak-anak.

“Sambutan Aidilfitri lalu dilakukan secara panggilan video bersama suami di samping dua lagi anak berusia 15 dan 17 tahun yang tinggal bersama nenek mereka di Johor,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia