Ibu Parah, Anak Lelaki Maut Dalam Perjalanan Mendaftar Di Universiti

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KAMPAR: Perjalanan lima beranak untuk menghantar dua daripada mereka mendaftar ke universiti, berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka maut manakala seorang lagi parah, selepas kereta dinaiki terbabit kemalangan dengan sebuah treler di Kilometer 301.5, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan, dekat Gopeng, pagi ini.

Mangsa, Muhammad Zweill Haikal Ghazali, 18, meninggal dunia akibat parah pada kepala manakala ibunya, Asnoni Othman, 49, berasal dari Teluk Kumbar, Bayan Lepas, Pulau Pinang, parah.

Nahas kira-kira jam 7 pagi itu turut menyebabkan tiga lagi anak lelaki kepada Asnoni iaitu yang berusia 24, 20 dan 10 tahun yang menaiki kereta sama iaitu Proton Savvy, cedera termasuk dua daripadanya cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Mohamad Nazri Daud, berkata mereka dalam perjalanan untuk mendaftarkan Muhammad Zweill dan abangnya yang berusia 20 tahun ke Universiti Malaya (UM) kampus Cyberjaya, Selangor.

Katanya, siasatan awal mendapati, kereta dinaiki lima beranak itu adalah dari arah Ipoh menghala Kuala Lumpur.

“Setiba di tempat kejadian, kereta dipandu lelaki berusia 24 tahun dipercayai gagal mengawal kenderaannya lalu melanggar bahagian belakang sebelah kanan treler yang dipandu seorang lelaki berumur 50 tahun yang sedang bergerak di lorong kiri jalan.

“Susulan nahas itu, Muhammad Zweill disahkan maut di tempat kejadian manakala semua mangsa lain yang cedera termasuk pemandu kereta yang ketika ini tidak sedarkan diri berikutan pendarahan di perut, dihantar ke Hospital Tapah untuk rawatan lanjut,” katanya.

Mohamad Nazri berkata, pemandu treler bagaimanapun tidak cedera.

Katanya, bedah siasat mayat akan dijalankan kira-kira jam 3 petang ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber: BERITA HARIAN