KUALA LUMPUR – ‘Ibu segala pingat’ menjadi milik Terengganu selepas pasukan dari Pantai Timur itu menewaskan Pulau Pinang (PP) 2-0 pada aksi final acara bola sepak Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, di sini, sebentar tadi.
Kemenangan itu menyaksikan skuad bimbingan Badrul Afzan Razali menamatkan penantian 12 tahun untuk kembali merangkul pingat emas bola sepak SUKMA selepas kali terakhir memenanginya pada 2010.
Pencapaian itu turut membolehkan Terengganu mengikut jejak Pahang dan Perak yang berjaya memenangi empat pingat emas dalam acara terbabit pada temasya SUKMA.
Pada aksi itu, 10 minit pertama dikuasai Terengganu yang menyaksikan sepakan sudut Muhamad Muslihuddin ‘Atiq Mat Zaid melencong sehingga memaksa Muhammad Azam Ramli menepis bola terbabit dan percubaan susulan daripada Muhammad Safwan Mazlan melambung tinggi.
‘Baton’ serangan bertukar kepada PP selepas 10 minit dan giliran PP pula menguji gawang Terengganu dengan beberapa percubaan namun diselamatkan Nor Hakeem Hamidun ataupun meliar.
Tiba giliran Terengganu ‘mengambil’ semula penguasaan, peluang dimanfaatkan sebaiknya mereka selepas sepakan percuma disudahkan menerusi tandukan Safwan yang menewaskan Azam untuk gol pertama Terengganu pada minit ke-24.
Sisa perjuangan PP terkubur pada minit ke-86 apabila percubaan Azam yang menepis percubaan Aqil Idham Bahari melantun terkena pertahanan PP dan bola memasuki jaring untuk gol kedua Terengganu.
Sementara itu, pingat gangsa dimenangi Selangor selepas menundukkan Wilayah Persekutuan (WP) 3-1 pada aksi sebelah petang di Stadium UKM.
Selangor mendahului menerusi sepakan penalti Khairul Md Zain pada minit ke-11 sebelum jaringan Suhaimi Abu memastikan kedua dua pasukan terikat 1-1 pada babak pertama.
Bagaimanapun, Selangor meledak dua gol pada babak kedua hasil jaringan Harry Danish Haizon (minit ke-55) dan Fakhrul Iman Naszari (minit ke-78) sekali gus memastikan pingat gangsa menjadi milik Selangor.
Sumber : BERITA HARIAN