CHUKAI – Bagi menyelamatkan ayam ternakannya daripada mati setiap kali banjir berlaku, seorang warga emas telah membina reban rakit untuk ayam ternakannya.
Penoreh getah Abu Bakar Che Ahmad, 66, dari Kampung Tebak, Air Putih, di sini, berkata dia mencipta kaedah tersebut selepas tidak sanggup mengalami kerugian setiap tahun akibat banjir.
“Saya menternak ayam denak yang dikacukkan dengan baka ayam hutan sejak tujuh tahun lalu sebagai pendapatan sampingan. Setiap seekor ayam ini dijual di antara RM100 hingga RM300 bergantung kepada baka.
“Namun setiap kali banjir, paras air mula meningkat sehingga lima meter menyebabkan saya pernah mengalami kerugian RM5,000 akibat semua ayam peliharaan mati dihanyutkan air,” katanya.
Menurutnya, bagi menyelesaikan masalah tersebut, dia mencari idea dengan menjadikan reban ayam itu seperti rakit.
Katanya, dia membina reban rakit itu dengan hanya menggunakan kayu dan jaring sebagai sangkar. Manakala, beliau menggunakan tong plastik untuk dijadikan pelampung. Untuk membuat reban rakit itu, dia hanya mengeluarkan modal sebanyak RM2,000.
Katanya, “saya mengambil masa selama seminggu untuk membina reban rakit itu dan kini ia mampu memuatkan hampir 200 ekor ayam. Reban ayam itu kemudian diikat pada tiang rumah. Sejak dua tahun banjir melanda, reban tersebut akan terapung dan tidak dihanyutkan air.”
Katanya, kampungnya sering ditenggelami air setiap kali tiba musim tengkujuh tiba akibat limpahan Sungai Kemaman yang terletak berhampiran dengan rumahnya.
Sumber: HARIAN METRO