
MEXICO – Seekor ikan oarfish yang sering dikaitkan dengan petanda bencana alam ditemui terdampar di sebuah pantai tempatan mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk.
Ikan yang dikenali sebagai ‘ikan gempa bumi’ itu ditemui dalam keadaan lemah oleh sekumpulan nelayan.
ADVERTISING
Spesies ini biasanya hidup di kedalaman laut yang jauh dan kemunculannya di perairan cetek atau pantai sering dikaitkan dengan kepercayaan bahawa ia memberi amaran kepada kejadian gempa bumi atau tsunami yang bakal berlaku.
Menurut seorang nelayan, ikan tersebut sepanjang kira-kira tiga meter dan kelihatan tidak bermaya.
“Kami jarang sekali melihat ikan ini, apatah lagi di pantai. Ini sesuatu yang luar biasa,” katanya.
Kepercayaan bahawa kemunculan ikan oarfish adalah petanda bencana telah lama wujud dalam budaya masyarakat Jepun dan beberapa negara lain.
Sebagai contoh, pada November 2024, seekor oarfish ditemui di pantai California, Amerika Syarikat, dan sebulan selepas itu, gempa bumi berukuran 7.0 magnitud melanda kawasan berdekatan.
Namun, pakar marin menjelaskan bahawa kehadiran ikan ini di permukaan biasanya disebabkan oleh faktor lain seperti perubahan suhu air, penyakit, atau disorientasi.
“Walaupun terdapat banyak kepercayaan mengenai kaitan ikan ini dengan gempa bumi, secara saintifik, tiada bukti kukuh yang mengesahkan dakwaan tersebut,” jelasnya.
Pihak berkuasa kini sedang menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca kematian ikan tersebut dan mengingatkan orang ramai agar tidak panik.
Bottom of Form
Sementara itu, penduduk setempat terus berspekulasi sama ada kemunculan ikan ini adalah kebetulan atau benar-benar satu amaran terhadap bencana alam yang bakal berlaku.
Sumber : SINAR HARIAN