PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen Malaysia kini menyingkatkan tempoh pusingan penugasan kakitangan dan pegawai di bahagian berisiko terdedah kepada tawaran rasuah, salah guna kuasa serta penyelewengan kepada setahun, dalam usaha memastikan integriti perkhidmatannya.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh, berkata pihaknya sentiasa berusaha secara berterusan menambah baik prosedur operasi standard (SOP) pengoperasian dan bertindak tegas bagi memastikan tiada anggota dan pegawainya terbabit salah guna kuasa dan rasuah.
Beliau tidak menafikan ada anggota dan pegawainya yang terbabit dalam salah laku dan rasuah, malah mengakui pernah menerima aduan berhubung perkara itu secara langsung.
Katanya, antara usaha dilakukan bagi memastikan tiada pegawai Imigresen terdedah kepada jenayah dan salah laku itu adalah dengan melaksanakan pusingan kerja.
“Di Imigresen, kita buat pusingan kerja maksimum tiga tahun sebab tugasan kritikal, (namun) ada yang saya ‘rotate’ (pusingan kerja) dalam masa setahun.
“Mereka yang berada di pintu masuk atau bahagian penguatkuasaan, terdedah kepada tawaran rasuah, salah guna kuasa, penyelewengan dan aktiviti lain, jadi kita selalu tukar mereka kerana tidak mahu pegawai ini berakar umbi, dah jadi pokok dan mula melebarkan daun, jadi pusingan kerja ini amat berkesan.
“Setiap tindakan yang diambil adalah supaya masyarakat tahu Imigresen serius menangani isu terbabit. Saya tak mahu pegawai kita dilihat rakyat sebagai teruk, kita perlu ada nilai yang lebih tinggi tapi disebabkan nila setitik menjejaskan Imigresen,” katanya dalam pertemuan dengan media di sini.
Ruslin menggesa mana-mana kakitangan atau pegawai yang tiada integriti meninggalkan jabatan itu kerana ramai lagi di luar sana yang sedia menyertai perkhidmatan Imigresen.
Katanya, ketegasan pihaknya dalam menjaga integriti terbukti dengan tindakan tatatertib diambil terhadap 96 kakitangannya sepanjang tahun lalu hingga kini, selain lima sudah dikenakan hukuman buang kerja dalam tempoh sama.
Selain tindakan tatatertib, Imigresen turut mengeluarkan perintah tahan kerja terhadap 31 pegawai kerana berdepan pertuduhan di mahkamah sepanjang tempoh berkenaan.
“Satu sahaja peringatan saya. Kita perlu menjaga uniform (amanah dan tanggungjawab) yang kita pakai, hormat uniform yang kita pakai, kalau awak tak ada integriti, buang sahaja uniform (berhenti), jangan duduk di Imigresen.
“Sebagai pegawai imigresen, kita ada kuasa, ingatlah kuasa yang kita ada ini jangan disalah guna, sepatutnya kita menguatkuasakan undang-undang, menjaga kestabilan negara, (bukan) bersekongkol dengan sindiket, kartel dan sebagainya,” katanya.
Ruslin berkata, pihaknya ada menerima aduan terdapat pegawai Imigresen terbabit dengan ‘ejen’ pekerjaan dan sebagainya.
Tegasnya, setiap aduan yang diterima akan disiasat dengan rapi berdasarkan bukti.
“Saya tak akan lepaskan mereka, sebaliknya buat siasatan rapi. Sekarang ada tiga siasatan yang sedang saya buat tetapi dua didapati tidak berasas, satu lagi kita teruskan lagi siasatan.
“Hakikatnya ada tindakan yang kita ambil. Saya tak lepas atau tak akan biarkan, sebaliknya arahkan unit integriti, buka fail siasatan, panggil orang ini, dapatkan rekod, kamera litar tertutup (CCTV) dan sebagainya,” katanya.
– BERITA HARIAN