PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen (JIM) menahan 26 warga asing dalam operasi khas di sekitar Pulau Perhentian, Terengganu, Isnin lepas.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Ruslin Jusoh berkata mereka terdiri daripada 13 lelaki warga Bangladesh, enam lelaki Myanmar, dua lelaki Pakistan, seorang lelaki Nepal, tiga wanita Thailand dan seorang wanita warga Indonesia berusia lingkungan 22 hingga 50 tahun.
“Semakan awal mendapati tiga lelaki warga Bangladesh, dua lelaki Pakistan dan tiga wanita Thailand itu memiliki Pas Lawatan Sosial (PLS) yang masih sah laku manakala baki yang ditahan tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini,” katanya.
Beliau berkata kebanyakan mereka dipercayai menjalankan aktiviti perniagaan manakala yang lain bekerja di lokasi pemeriksaan terbabit selama kira-kira sembilan bulan.
“Warga Bangladesh menawarkan perkhidmatan teksi air manakala warga Thailand menawarkan perkhidmatan spa. Warga Nepal pula bekerja sebagai pengawal keselamatan di pusat peranginan,” katanya.
Ruslin berkata kesemuanya dibawa ke Depot Imigresen Ajil untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39b Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Beliau berkata pihak JIM turut memberi notis terhadap dua lelaki tempatan yang berada di lokasi serbuan untuk hadir ke Jabatan Imigresen Terengganu bagi membantu siasatan.
“JIM akan mengesan majikan yang menggajikan atau menggunakan pekerja warga asing tanpa dokumen atau pas yang sah bagi memastikan tindakan tegas dikenakan terhadap pihak didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007,” katanya.
— BERNAMA