Impak PKP terhadap ekonomi masih terkawal – PM

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR: Kerajaan menjangkakan impak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali ini terhadap ekonomi negara masih terkawal.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan tidak menjangkakan impak yang sama seperti suku kedua 2020 akan dialami kali ini.

Beliau berkata, ini kerana lebih banyak aktiviti ekonomi dibenarkan untuk beroperasi.

“Pertumbuhan akan terus disokong oleh sektor eksport yang memberangsangkan dengan pemulihan perdagangan dunia.

“Pakej rangsangan ekonomi, Belanjawan 2021 dan pakej bantuan PERMAI juga akan terus merancakkan penggunaan.

“Projek dan program yang berimpak tinggi dan mempunyai kesan pengganda yang besar juga akan terus memacu momentum pemulihan ekonomi,” katanya ketika mengumumkan pakej bantuan PERMAI di sini kelmarin.

Muhyiddin berkata, pelaksanaan pakej rangsangan ekonomi yang diperkenalkan kerajaan sebelum ini juga berjaya mencapai kadar penguncupan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang lebih rendah daripada 17.1 kepada 2.7 peratus.

Beliau berkata, kadar pengangguran juga mencatatkan penurunan daripada 5.1 pada suku kedua 2020 kepada 4.7 peratus pada suku ketiga 2020.

Sumber: Berita Harian