Impian Tunai Umrah Lebur, Duit Lesap

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN: Impian seorang pesara swasta di Temerloh untuk menunaikan umrah bukan sahaja tidak kesampaian, malah terpaksa menanggung kerugian RM11,400 apabila terpedaya dengan tawaran pakej umrah yang tidak wujud.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, mangsa berusia 58 tahun itu dilaporkan terpedaya dengan penipuan itu selepas menerima tawaran pakej umrah melalui aplikasi WhatsApp pada 5 Mac lalu.

“Mangsa berurusan dengan suspek yang mendakwa kononnya dilantik sebuah syarikat menguruskan umrah terbabit.

“Mangsa membuat lima kali transaksi melalui dua akaun bank berbeza yang diberikan oleh suspek,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Beliau berkata, kelmarin mangsa menghubungi syarikat yang dikatakan menawarkan pakej terbabit tetapi dimaklumkan tiada apa-apa pakej ditawarkan syarikat berkenaan.

“Wang simpanan mangsa sebanyak RM11,400 lesap kerana mempercayai tawaran yang dibuat suspek.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Beliau menasihati orang ramai tidak berurusan dengan orang tengah bagi mana-mana tawaran pakej umrah dan haji, selain membuat semakan di Lembaga Tabung Haji.

Sumber: METRO HARIAN