Indeks jenayah di Kemaman turun 20 peratus

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Chukai: Kegiatan penyeludupan migran antara kesalahan jenayah yang dikesan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di daerah Kemaman apabila tiga kes dilaporkan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Hanyan Ramlan berkata, seramai 10 warga asing yang cuba merentas masuk ke negeri ini berjaya ditahan menerusi sekatan jalan raya (SJR) yang dilakukan dalam tempoh berkenaan.

“Antara modus operandi yang digunakan warga tempatan bagi menyeludup warga asing ini adalah dengan menyembunyikan mereka di dalam lori dan sebagainya.

“Selain penyeludupan migran, kita turut membuat tangkapan berkaitan dadah termasuk kes yang disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kesemua kesalahan ini dikesan ketika kita membuat kawalan pergerakan masyarakat dan daripada situ, kita berjaya membuat pencegahan jenayah dan narkotik daripada SJR yang dilakukan,” katanya.

Hanyan berkata, indeks jenayah di daerah Kemaman juga menurun sebanyak 20 peratus sepanjang tempoh PKP.

Katanya, pihaknya akan melaksanakan pelbagai langkah bagi memastikan tiada pihak atau individu yang cuba mengambil kesempatan sepanjang tempoh PKP.

Mengenai kesalahan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) sepanjang PKP 3.0, Hanyan berkata, lebih 100 kompaun dikeluarkan individu di daerah Kemaman membabitkan pelbagai kesalahan.

Katanya, tidak memakai pelitup muka dan berkumpul beramai-ramai antara kesalahan paling tinggi yang direkodkan di daerah Kemaman sepanjang pelaksanaan PKP 3.0.

“Selain itu, membawa penumpang melebihi kapasiti yang dibenarkan.

“Sebelum ini, kegiatan merentas negeri dan daerah termasuk menggunakan laluan tikus antara kesalahan yang tinggi dikesan namun trend berkenaan berubah menerusi pendekatan yang dilakukan termasuk menutup laluan tikus daripada dicerobohi,” katanya.

Sumber: My Metro