Kuala Terengganu: Hanya 13 peratus atau lebih 11,000 daripada keseluruhan 91,000 individu yang bekerja sendiri di negeri ini mencarum di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS), setakat ini.
Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Terengganu Farihah Che Husin berkata, seramai 7,769 individu daripada 11,000 itu adalah penghantar makanan dan barangan atau ‘rider’.
“Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri meliputi 20 sektor pekerjaan sendiri seperti nelayan, pekebun, petani, pengusaha dalam talian dan penghantar makanan serta barangan,” katanya kepada pemberita, di sini.
Sehubungan itu, Farihah berharap lebih ramai individu yang bekerja sendiri di Terengganu dapat mencarum dengan SKSPS supaya mereka dilindungi dan menikmati pelbagai faedah disediakan.
“Dengan caruman serendah RM13.10 sebulan, pencarum dapat menikmati banyak faedah seperti perubatan, pengurusan mayat dan pencen penakat kepada waris,” katanya.
Terdahulu, Farihah menyerahkan faedah pengurusan jenazah sebanyak RM2,000 dan pencen penakat kepada bapa penghantar makanan Allahyarham Nik Muhammad Haikal Nik Zulkifli yang terkorban ketika bertugas pada 19 Ogos lalu.
Nik Muhammad Haikal, 18, yang juga orang kurang upaya (OKU) kategori pekak dan bisu meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya di Kampung Tebauk, di sini, ketika dalam perjalanan pulang menghantar makanan kepada pelanggan.
Sumber: My Metro