Individu Dari Zon Merah Ke Zon Hijau Mungkin Perlu Disaring

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Individu yang mahu bergerak dari zon merah ke zon hijau berkemungkinan perlu menjalani ujian saringan COVID-19, pada masa hadapan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata ketika ini Kementerian Kesihatan (KKM) sedang mempertimbangkan cadangan berkenaan, antara usaha untuk melindungi daerah atau negeri yang masih lagi berada dalam zon hijau di negara ini.

“Kita kena lihat bagaimana untuk melindungi negeri hijau. Kita kena lihat bagaimana untuk menjalankan saringan terhadap mereka dari zon merah ke zon hijau. Tindakan kita untuk melindungi negeri hijau. Diharapkan dalam tempoh beberapa hari, ada enam negeri yang dalam kategori zon hijau dan kita perlu melindungi keenam-enam negeri ini dengan melaksanakan tindakan kesihatan awam”

Dr Noor Hisham berkata, ketika ini hanya tiga negeri yang kekal dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) iaitu Perlis, Kelantan dan Pahang.

Beliau berkata, walaupun ada jangkitan kes baharu dikesan di Kelantan, ia membabitkan kes import dari negeri zon merah yang kembali ke negeri itu.

Katanya, KKM juga melihat perkembangan di Kedah yang menyaksikan banyak kawasan dalam zon merah sudah berkurangan, begitu juga di Terengganu manakala Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan membabitkan Kluster Kempas di Johor sudah ditamatkan.

“Kita ada kluster baharu di Kota Tinggi dan mengambil tindakan mengenakan PKPB untuk dua minggu. Selepas dua minggu, mungkin kita akan melihat kembali perkembangan baik di Kedah, Terengganu dan Johor. Jika ada perkembangan baik, mungkin kita akan pertimbangkan untuk ia kembali ke PKPP”