Industri Perkayuan Terengganu Bakal Tembusi Pasaran Dunia

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR – Industri Perkayuan Terengganu menerusi syarikat berkaitan kerajaan negeri, Pesama Timber Corporation Sdn Bhd (Pesama) dijangka bakal menembusi pasaran dunia.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata melalui satu perjanjian persefahaman (MoU) dengan Forest Avenue International (Forest Avenue) pada hari ini dijangka akan membantu Pesama untuk menembusi pasaran Amerika Syarikat (US).

Katanya, melalui produk-produk hilirannya memandangkan Supreme Group telah pun mempunyai pasaran di US.

“Kerjasama di antara dua syarikat perkayuan ini membolehkan Pesama menghasilkan produk yang memberi nilai tambah (value added products).

“Manakala Forest Avenue akan memberikan garis panduan kepada Pesama,” katanya dalam satu kenyataan di Laman Facebook Rasmi miliknya pada hari ini.

Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Pesama Timber Corporation Sdn Bhd. (PESAMA) dan Forest Avenue International Sdn Bhd ( SUPREME GROUP) bertempat di Mandarin Oriental Hotel, Kuala Lumpur kelmarin.

Hadir Sama pada majlis tersebut, Pengerusi Pesama, Ir Saiful Azmi Suhaili.

Tambah Ahmad Samsuri, kerjasama itu diadakan bertujuan bagi memperluaskan segmen pengkomersilan sambungan perpanjangan kayu ‘finger-joint’ dan kayu kumai ‘moulding’ di pasaran.

“Pesama merupakan anak syarikat Golden Pharos Bhd (GPB) yang menjalankan perniagaan perkayuan di Terengganu manakala Forest Avenue merupakan anak syarikat Kumpulan Supreme, syarikat perkayuan terbesar di Klang, Selangor.

“Semoga kerjasama ini akan memberikan manfaat kepada kedua-dua belah pihak seterusnya kepada ekonomi negeri, insya-Allah,” jelasnya.

Sementara itu, Ir Saiful berkata, antara garis panduan yang diberikan Forest Avenue termasuklah berkaitan dengan spesifikasi produk, kemahiran tenaga kerja dan teknologi serta kerjasama lain dari masa ke masa.

Tambahnya, Pesama sentiasa terbuka untuk menjalinkan kerjasama dengan mana-mana pihak bagi memastikan produk perniagaan hilirannya dapat diperluaskan ke peringkat lebih tinggi.

“Memandangkan produk hilirannya masih di peringkat pengenalan berbanding syarikat-syarikat gergasi dalam negara,” ujarnya.

– TRDI