Bentong: Akibat gagal mematuhi penjarakan sosial dan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 2.0), 21 individu dikompaun di sebuah pusat pengurusan mayat di sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, mereka terdiri daripada 15 lelaki dan enam wanita berusia antara 14 tahun hingga 75 tahun yang ditahan oleh pasukan pemantau SOP Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong.
Menurutnya, hasil pemantauan di lokasi, semua individu warga tempatan itu berada dalam keadaan tiada penjarakan sosial dan tidak mengikut SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN)
“PDRM sentiasa menghormati upacara keagamaan yang diadakan namun ia perlulah mengikut SOP yang ditetapkan.
“Kita sudah memberi peringatan dan amaran berkaitan SOP namun rondaan kali kedua di lokasi sama mendapati mereka masih tidak mengikutinya, oleh itu tindakan kompaun diambil,” katanya.
Zaiham berkata mereka dikompaun kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan PKP 2.0 di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.
Dalam perkembangan yang sama, beliau berkata, sepanjang tempoh PKP bermula 22 Januari hingga 1 Februari, polis Bentong sudah mengeluarkan 43 kompaun dengan pelbagai kesalahan.
Sumber: My Metro