Ingkar SOP PKP, 5 pemilik kedai dikompaun

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuala Terengganu: Lima pemilik kedai di Terengganu dikompaun RM1,000 semalam kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu Saharuddin Mohd Kia berkata, ia membabitkan tiga premis perniagaan di Kemaman, manakala dua di Kuala Terengganu.

“Ia membabitkan tiga premis menjual telefon serta masing-masing satu premis menjual karpet dan premis pemborong.

“Antara kesalahan yang dilakukan adalah gagal menyediakan peralatan untuk merekod butiran diri, peralatan suhu dan mengawal laluan masuk pelanggan tanpa merekodkan maklumat secara manual atau melalui aplikasi MySejahtera.

“Semua pemilik dikenakan kompaun mengikut Peraturan 15 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan) 2021,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Saharuddin berkata, KPDNHEP menggesa pengusaha perniagaan dan orang ramai supaya sentiasa mematuhi SOP bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Katanya, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang mengambil mudah serta melanggar SOP yang ditetapkan.

“Kita turut mengalu-alukan kerjasama daripada pengguna untuk menyalurkan sebarang maklumat salah laku atau aduan melalui saluran yang disediakan bagi memastikan para peniaga sentiasa mematuhi undang-undang yang ditetapkan,” katanya.

Sumber: My Metro