Salam Aidiladha diucapkan buat semua umat Islam tidak kira di mana jua anda berada. Kedatangan 10 Zulhijjah ini saban tahun dinantikan. Kerana apa? Ini kerana seluruh umat Islam menantikan satu lagi perayaan terbesar yang dikenali sebagai Hari Raya Aidiladha atau Hari Raya Haji yang sinonim dengan ibadah penyembelihan korban.
Tahukah kita, dalam menjalani ibadah ini ada beberapa amalan sunnah yang boleh kita lakukan bagi melipat gandakan amal ibadah di sisiNya, insyaAllah. Berikut disenaraikan;
- Berpuasa sunat bermula dari 1 hingga 9 Zulhijjah.
- Menunaikan ibadah haji bagi mereka yang berkemampuan.
- Memperbanyakkan takbir dan tahmid kepada Allah SWT bermula pada malam 10 Zulhijjah.
- Memperbanyakkan amalan sunat pada malam Hari Raya Aidiladha.
- Mandi sunat Aidiladha pada pagi hari (10 Zulhijjah).
- Memakai pakaian yang baru dan bersih sebagai tanda syukur kita kepada Allah SWT.
- Memakai wangi-wangian yang menyenangkan.
- Memohon ampun dan bermaaf-maafan sesama ahli keluarga.
- Menjamah makanan setelah selesai solat Aidiladha.
- Melalui jalan yang berbeza sewaktu pergi dan pulang dari masjid.
- Berjalan kaki menuju ke masjid lebih baik jika masjid tidak jauh.
- Bertakbir, bertahmid dan bertahlil bermula dari malam 10 Zulhijjah sehingga terbenam matahari pada 13 Zulhijjah.
- Mendirikan solat sunat Hari Raya Aidiladha dan mendengar khutbah.
- Menziarahi kaum keluarga, sanak saudara serta jiran tetangga.
- Bersedekah.
- Melaksanakan ibadah korban selama empat hari iaitu setelah solat Aidiladha (10 Zulhijjah) sehingga 13 Zulhijjah bertujuan mendekatkan diri kepada Allah.
Tidaklah dilaksanakan Hari Raya Aidiladha serta ibadah korban ini melainkan semata-mata atas perintah daripada Allah SWT. Juga, bagi menundukkan diri kita sebagai hamba kepada Tuhan sekalian alam. Mudah-mudahan, segala amalan yang dilaksanakan pada hari raya umat Islam ini diterima oleh Allah SWT.
Sumber: TZKRH.COM