Puasa yang ditinggalkan pada bulan Ramadan wajib diganti semula sama ada ia yang ditinggalkan secara sengaja atau tidak.
Ia merupakan hutang kepada Allah yang wajib dibayar. Jika sudah beberapa tahun tidak menggantikan puasa tersebut, maka dalam situasi ini seseorang individu itu perlu melakukan bayaran fidyah.
Adapun, buat mereka yang ingin menggantikan puasa, ia perlu dilakukan seperti ibadah puasa yang sama yang dilakukan pada bulan Ramadan.
Ia tidaklah bermaksud anda perlu melakukan solat sunat Tarawih pada setiap malam, kerana solat tersebut hanya khusus pada bulan Ramadan dan tiada pada bulan-bulan yang lainnya.
Namun, perlu dilihat dan diambil perhatian akan perkara-perkara wajib dalam ibadah puasa. Antara 7 perkara yang perlu diambil berat ialah;
1.Niat Puasa
Niat puasa perlu dilakukan sebelum Subuh. Sama sahaja dengan ibadah puasa dalam bulan Ramadan. Jika tidak diniatkan puasa, maka amalan wajib ini tidak sah.
Berbeza dengan ibadah puasa sunat. Selalunya, jika anda belum makan pagi dan berniat untuk berpuasa, maka pada waktu itu anda sudah boleh meneruskan puasa tersebut. Ini bermaksud, niat puasa sunat boleh dilakukan sehingga sebelum matahari tergelincir.
Jadi, jika anda ingin melakukan puasa ganti esok hari, pastikan anda sudah berniat untuk melakukan amalan tersebut.
2.Tidak Boleh Batal Puasa
Puasa ganti Ramadan adalah termasuk dalam ibadah fardu ain yang wajib dilakukan. Jadi, apabila sudah memulakan untuk menggantikan puasa tersebut, tidak boleh berbuka puasa dengan sengaja dan tanpa alasan yang kukuh.
Melainkan jika perempuan itu didatangi haid atau lelaki yang menggantikan puasa tersebut perlu berbuka disebabkan sakit yang dialami.
Imam Abu Yahya Zakariya Al-Anshari melalui kitabnya Fathul Wahhab ada menyebut – “Dan diharamkan membatalkan ibadah fardu ain.”
Namun, boleh membatalkan niat puasa itu sebelum terbit fajar kerana puasa belum bermula pada waktu tersebut.
3.Boleh Disekalikan Dengan Puasa Sunat
Buat yang mungkin masih lagi wujud persoalan sama ada boleh atau tidak melakukan ibadah wajib ini dengan amalan sunat yang lain, maka jawapannya adalah dibolehkan.
Jika ada yang ingin sekalikan puasa sunat Syawal dan wajib, ia boleh dilakukan. Atau mungkin juga ingin menyekalikan dengan puasa sunat Isnin Khamis, juga dibolehkan.
Syeikh Muhammad bin Shalih al-‘Utsaimin RA berkata – “Jika puasa enam hari Syawal bertepatan dengan puasa Isnin atau Khamis, maka puasa Syawal juga akan mendapatkan pahala puasa Isnin. Begitu juga puasa Isnin atau Khamis yang akan mendapatkan pahala puasa Syawal.” (Fatwa Syeikh Ibnu ‘Utsaimin, Fatwa Islamiyyah, 2:154)
4.Boleh Ganti Secara Selang-Seli
Puasa ganti ini tidak perlu dilakukan secara berturut-turut seperti anda berpuasa pada bulan Ramadan. Ia boleh dilakukan secara selang-seli atau pada tarikh yang dirasakan mampu sebelum hadirnya Ramadan seterusnya.
Mafhum: “Dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir, maka (bolehlah ia berbuka, kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain.” (Surah Al-Baqarah, 2:185)
5.Tidak Perlu Kafarah
Jika pasangan suami isteri melakukan hubungan intim pada siang hari, maka mereka tidak perlu membayar kafarah.
Mereka hanya perlu menggantikan puasa pada hari lain. Berbeza dengan hubungan suami isteri yang dilakukan pada bulan Ramadan, maka wajib ke atas mereka untuk membayar kafarah.
6.Berdoa Sebelum Berbuka Puasa
Orang yang berpuasa dalam bulan Ramadan, digalakkan untuk mengungkapkan doa sebanyak mungkin terutamanya sebelum berbuka puasa kerana doanya adalah antara yang makbul.
Maksud: “Ada tiga doa yang tidak tertolak. Doa orang yang berpuasa ketika berbuka, doa pemimpin yang adil dan doa orang yang terzalimi.” (Hadis Riwayat Tirmizi, no. 2528)
Namun, tahukah anda, ia bukan sahaja diaplikasikan untuk mereka yang berpuasa dalam bulan Ramadan sahaja, tetapi untuk semua waktu.
Maka, jika anda berpuasa wajib atau sunat, digalakkan untuk berdoa dan meminta kepada Allah dengan setulus hati.
7.Pada Sahur Ada Keberkatan
Sahur itu merupakan perkara penting yang boleh dilakukan jika anda berniat untuk melakukan puasa sama ada yang sunat atau wajib.
Ia bukan sahaja diikuti kerana amalan sunnah, namun dalam masa yang sama ia boleh memberi kebaikan kepada tubuh badan anda.
Tenaga yang masuk ke dalam badan anda semasa sahur itu mampu membantu anda menjalani hari tersebut dengan baik.
Pada sahur juga terdapat keberkatan yang boleh membantu seseorang untuk kuat beribadah kepadaNya dan melakukan kerja harian dengan baik.
Jadi, bangunlah sahur walaupun sudah melepasi waktu imsak dan bersahurlah walau dengan hanya minum segelas air dan makan sebiji kurma.
Kesimpulannya, Ibadah puasa ganti merupakan perkara wajib yang perlu diambil perhatian. Walaupun aura berpuasa itu bukan seperti anda berpuasa pada bulan Ramadan, namun anda perlu menitikberatkan ibadah tersebut kerana ia adalah fardu ain.
Sumber: TZKRH.COM