‘Ini Bantuan Tahunan Pertama Saya Terima’

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

MARANG, 7 Disember – Senyuman jelas terukir pada wajah penerima Pencen Rakyat Warga Emas di Rhu Rendang setelah manifesto PAS pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) itu direalisasikan hari ini.

Seorang warga emas dari Kampung Sungai Kerak, Liong Ming Soon, 83, meluahkan rasa gembira atas sikap prihatin kerajaan kerana ia adalah bentuk bantuan tahunan pertama diberi kepadanya.

“Pencen pertama diberi kerajaan ini saya akan simpan untuk keperluan seperti membeli ubat dan keperluan harian.

“Terima kasih kepada kerajaan negeri, bagi kami orang miskin, wang ini tanda mereka jaga rakyat, hati pun suka,” katanya yang juga bekas penjual surat khabar kepada pemberita.

Sentimen sama turut disuarakan seorang datuk kepada 12 orang cucu, Ali Jambul, 71 yang menggambarkan keperluan bantuan tersebut terutamanya kepada golongan sepertinya yang tiada pencen.

“Dulu saya kerja sebagai tukang motor bot, dengan sumbangan RM300 ini saya amat berterima kasih kepada kerajaan negeri, sebelum ini belum pernah ada lagi,” jelasnya yang berasal dari Kampung Pantai Seberang Marang.

“Cukup suka, ini boleh menjadi sumber dapatan kewangan baru untuk keluarga kita,” luah Owi Seyu Huwa yang mewakili suaminya Lan See Sing dalam mengambil bantuan dana tersebut.

Katanya yang juga isteri kepada penjual ikan, manfaat tersebut akan digunakan sebaik mungkin dalam membayar kos ubatan serta keperluan harian buatnya dan suaminya yang sedang menghidap strok.

Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pelaksanaan pada tahun ini hanya melibatkan suku kedua, bermula Jun sehingga Disember atau sebanyak RM300 kepada 19,230 orang penerima dengan 404 orang di Rhu Rendang.

“Alhamdulillah, dengan pelaksanaan manifesto ini menjadikan 18 daripada 20 janji manifesto telah ditunaikan. 

“Insya-Allah, dua lagi akan dilaksanakan dan dimasukkan dalam Belanjawan 2022 sekali gus menjadikan kesemua 20 janji manifesto akan direalisasikan,” ucapnya semasa Majlis Penyampaian Pencen Rakyat DUN Rhu Rendang di Dewan Majlis Daerah Marang (MDM), Kampung Paya, pagi tadi.

Terdahulu, seramai 19,230 warga emas berumur 60 tahun ke atas di negeri ini akan mula menerima bantuan Pencen Rakyat sebanyak RM300 seorang.

Sumber: TRDI News