Ini sebabnya kenapa kita rasa nak menguap bila lihat orang lain menguap

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Walaupun kita tidak berasa letih, kenapa kita tiba-tiba boleh menguap secara spontan bila terlihat orang lain menguap?

Sekumpulan pakar dari University of Nottingham telah membuat satu penyelidikan tentang ‘jangkitan’ menguap yang dicetuskan oleh refleks primitif dalam korteks motor utama iaitu kawasan otak yang bertanggungjawab ke atas fungsi motor.

Kajian “A neural basis for contagious yawning” yang diterbitkan dalam jurnal Current Biology itu mendapati ia agak mustahil untuk kita mengelakkan daripada turut sama menguap apabila orang lain yang menguap itu berada berhampiran. Lebih kuat kita menahan untuk menguap, lebih tinggi keinginan untuk menguap.

Echophenomena

Jangkitan menguap akan terjadi secara spontan dan tanpa kerelaan apabila kita memerhatikan individu lain menguap. Situasi ini dinamakan echophenomena, iaitu peniruan perkataan (echolalia) ataupun tindakan (echopraxia) individu lain yang berada berhampiran dengan kita. Walau bagaimanapun, asas saraf berkaitan echophenomena ini masih tidak diketahui.

Untuk menguji hubungan di antara keterujaan motor dan asas saraf bagi jangkitan menguap, kumpulan penyelidik itu menggunakan rangsangan magnetik transkranial (TMS) ke atas 36 subjek dewasa yang menonton video orang lain menguap. Subjek kemudian diminta sama ada untuk menahan diri daripada turut menguap ataupun membiarkan sahaja menguap itu terjadi.

Tahan menguap menyebabkan rasa lebih kuat nak menguap

Keputusan kajian mendapati keinginan untuk menguap akan menjadi lebih kuat apabila seseorang cuba menahan diri. Rangsangan elektrik TMS yang digunakan juga boleh meningkatkan keterujaan sekali gus memperhebat kecenderungan untuk menguap.

Walaupun menguap mempunyai kesan berantai yang boleh membuatkan orang lain turut menguap, tahap kecenderungan adalah berbeza-beza bagi setiap individu.

Jika para saintis dapat membuat kajian lebih mendalam berkaitan ‘jangkitan’ menguap ini dan memahami bagaimana keterujaan kortikal boleh mengakibatkan kecelaruan saraf, mereka juga berkemungkinan boleh merawat penyakit otak seperti sawan, autisme dan sindrom Tourette yang menyebabkan gangguan tik pada penghidap.

Tahukah anda, selain manusia, cimpanzi dan anjing juga mengalami sindrom menguap secara berjangkit ini.

Sumber : Iluminasi