Inter Sertai AC Milan di Separuh Akhir

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

MILAN – Inter Milan mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah selepas terikat 3-3 dengan Benfica pada aksi suku akhir kedua dan menang 5-3 secara agregat.

Skuad kendalian Simone Inzaghi akan berdepan seteru tetangga, AC Milan di separuh akhir selepas Nicolo Barella, Lautaro Martinez dan Joaquin Correa menemui sasaran di San Siro.

Kedua-dua pasukan gergasi Milan itu sedang berusaha menjadi kelab Serie A pertama memenangi kejohanan elit Eropah berkenaan sejak Inter menjulangnya pada tahun 2010.

“Ia malam yang bermakna buat semua orang di kelab, dan kami berhak mara selepas dua perlawanan ini.

“Pemain-pemain cukup menakjubkan sepanjang dua aksi suku akhir ini. Mara ke separuh akhir adalah impian kami dan sekarang kami akan cuba menyempurnakannya,” kata Inzaghi.

Milan menanti di separuh akhir selepas menewaskan Napoli semalam.

Martinez dan Correa menamatkan kemarau jaringan masing-masing, sambil memastikan gol Fredrik Aursnes, Antonio Silva dan Petar Musa tidak menjejaskan kelebihan Inter pada pertemuan itu.

– BERITA HARIAN