Islam Penggerak Kedamaian

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Islam dari segi terminologi bahasa berasal dari akar kata salam yang bererti damai. Jadi Islam itu bermaksud kedamaian dan Muslim pula adalah orang yang menggerak dan menegakkan kedamaian.

Pengertian ini lahir daripada esensi Islam itu sendiri yang merupakan satu ajaran dan juga syariat yang akan menjamin kedamaian kepada seluruh umat manusia.

Islam yang berpaksikan tiga tonggak utama yang menegakkan binaan Islam iaitu Akidah, Syariat dan Akhlak, nescaya disimpulkan bahawa ketiga-tiga tonggak tersebut memancarkan kedamaian dan kesejahteraan dalam erti yang sebenarnya.

Dari aspek Akidah, Islam merupakan satu Ad-din yang membimbing dan memimpin akal fikiran manusia untuk meyakini bahawa hanya terdapat satu kekuatan mutlak yang menguasai alam semesta iaitu Allah taala.

Oleh kerana itu, hanya Allah yang layak diagungkan, disembah, dibesarkan, ditakuti dan juga dicintai.

Justeru, manusia yang memfokus akal fikirannya pada Yang Maha Esa akan menemui kebahagiaan dan kedamaian sejati dalam hidupnya.

Sebaliknya manusia yang meyakini banyak unsur dan banyak kekuatan itu pasti tidak akan menemui kedamaian yang dicari-cari, malah dia pun tidak akan merasa tenang tenteram kerana harus memenuhi kehendak banyak pihak dan juga mencari simpati banyak unsur.

Segala tenaga dan juga akal fikirannya pula menjadi serba salah dan yang pastinya dia tidak menemui titik kedamaian tersebut.

Manakala orang yang mengesakan Allah SWT hanya mencari keredaan ilahi dan mengabdikan dirinya hanya ke hadrat Allah Yang Maha Agung.

Jika kita menelusuri aspek Syariat pula, dapat disimpulkan Islam amat mengajar umatnya supaya cintakan kedamaian dan berusaha pula mencipta kedamaian sejagat dalam pelbagai ruang lingkup kehidupan manusia bermula daripada sebuah institusi keluarga, sebuah masyarakat yang berdaulat dan bangsa yang merdeka.

Apabila Syariat Islam dihayati dan diamalkan oleh segenap masyarakat, maka akan terciptalah sebuah keluarga yang memiliki ciri-ciri sakinah, mawaddah dan rahmah sebagaimana difirmankan Allah SWT:

وَمِنْ اٰيٰتِهٖٓ اَنْ خَلَقَ لَكُمْ مِّنْ اَنْفُسِكُمْ اَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوْٓا اِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُمْ مَّوَدَّةً وَّرَحْمَةً ۗاِنَّ فِيْ ذٰلِكَ لَاٰيٰتٍ لِّقَوْمٍ يَّتَفَكَّرُوْنَ

“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki) isteri-isteri daripada jenis kamu supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikan-Nya antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan.

Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang berfikir”. (Surah Al-Rum, ayat 21)

Dalam lingkungan masyarakat pula, Syariat Islam mengatur sistem muamalat yang unggul seperti urusan jual beli, sewa menyewa, upah, gadai, hutang dan sebagainya.

Tujuan pensyariatan sistem muamalat Islam tersebut demi mewujudkan kedamaian.

Dalam masa yang sama, Islam melarang beberapa amalan dan transaksi sebagaimana termaktub di dalam Al-Quran dan hadis kerana ia berpotensi menimbulkan masalah dan konflik kepada masyarakat.

Oleh sebab itu, Islam mengharapkan riba, judi, arak, zina, memakan harta anak yatim secara zalim, mencuri, merompak dan sebagainya. Sehubungan itu, Allah SWT berfirman:

اِنَّمَا يُرِيْدُ الشَّيْطٰنُ اَنْ يُّوْقِعَ بَيْنَكُمُ الْعَدَاوَةَ وَالْبَغْضَاۤءَ فِى الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ وَيَصُدَّكُمْ عَنْ ذِكْرِ اللّٰهِ وَعَنِ الصَّلٰوةِ فَهَلْ اَنْتُمْ مُّنْتَهُوْنَ

“Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan solat. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil?” (Surah Al-Maidah, ayat 91)

Arak akan menimbulkan kekeruhan dan huru hara akibat ada orang yang tidak berfikir secara normal. Judi pula akan mencetuskan bibit-bibit perbalahan dan perkelahian kerana ada rasa dengki, iri hati dan balas dendam.

Zina pula akan menjatuhkan maruah kemuliaan dan kehormatan seseorang atau sebuah keluarga, malah akan merosakkan sistem bermasyarakat.

Hal ini kerana perzinaan akan mengkucar-kacirkan zuriat keturunan dan Allah SWT berfirman:

قُلْ لِّلْمُؤْمِنِيْنَ يَغُضُّوْا مِنْ اَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوْا فُرُوْجَهُمْۗ ذٰلِكَ اَزْكٰى لَهُمْۗ اِنَّ اللّٰهَ خَبِيْرٌۢ بِمَا يَصْنَعُوْن

“Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah amat mendalam Pengetahuan-Nya tentang apa yang mereka kerjakan.

وَقُلْ لِّلْمُؤْمِنٰتِ يَغْضُضْنَ مِنْ اَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوْجَهُنَّ وَلَا يُبْدِيْنَ زِيْنَتَهُنَّ اِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلٰى جُيُوْبِهِنَّۖ وَلَا يُبْدِيْنَ زِيْنَتَهُنَّ اِلَّا لِبُعُوْلَتِهِنَّ اَوْ اٰبَاۤىِٕهِنَّ اَوْ اٰبَاۤءِ بُعُوْلَتِهِن اَوْ اَبْنَاۤىِٕهِنَّ اَوْ اَبْنَاۤءِ بُعُوْلَتِهِنَّ اَوْ اِخْوَانِهِنَّ اَوْ بَنِيْٓ اِخْوَانِهِنَّ اَوْ بَنِيْٓ اَخَوٰتِهِنَّ اَوْ نِسَاۤىِٕهِنَّ اَوْ مَا مَلَكَتْ اَيْمَانُهُنَّ اَوِ التَّابِعِيْنَ غَيْرِ اُولِى الْاِرْبَةِ مِنَ الرِّجَالِ اَوِ الطِّفْلِ الَّذِيْنَ لَمْ يَظْهَرُوْا عَلٰى عَوْرٰتِ النِّسَاۤءِ ۖوَلَا يَضْرِبْنَ بِاَرْجُلِهِنَّ لِيُعْلَمَ مَا يُخْفِيْنَ مِنْ زِيْنَتِهِنَّۗ وَتُوْبُوْٓا اِلَى اللّٰهِ جَمِيْعًا اَيُّهَ الْمُؤْمِنُوْنَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُوْن

“Dan katakanlah kepada perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka.” (Surah An-Nur, ayat 30-31)

Akhirnya menyebabkan pelaku zina dengan penderitaan batin yang amat mendalam.

Dari aspek akhlak pula, Islam menggariskan himpunan adab dam akhlak yang jika dihayati dan diamalkan secara menyeluruh akan menyerlahkan kedamaian yang diharapkan itu.

Islam memerintahkan umatnya supaya saling mengingati ke arah kebaikan, berbuat adil kepada semua manusia walaupun kepada orang yang tidak seagama dengannya, memelihara persaudaraan sesama manusia, bahkan Rasulullah menegaskan dalam sabdanya yang bermaksud:

“Orang Muslim itu adalah seorang yang dapat memelihara lidah dan tangannya daripada menyakiti orang lain”. (Hadis Riwayat Ahmad)

Akhlak dalam Islam mempunyai kedudukan yang istimewa di mana Al-Quran memuji kemuliaan akhlak yang dipamerkan Rasulullah SAW sebagaimana Firman Allah SWT:

وَاِنَّكَ لَعَلٰى خُلُقٍ عَظِيْم

“Dan sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang sangat-sangat mulia.” (Surah Al-Qalam, ayat 4)

Rasulullah SAW menetapkan tujuan utama kebangkitannya mendukung agenda perjuangan risalah Islam adalah untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak terpuji sebagaimana sabdanya yang bermaksud:

“Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak yang terpuji”. (Hadis Riwayat Imam Malik)

Dalam erti kata lain, akhlak Islam tidak dapat dipisahkan dalam setiap gerak geri kehidupan manusia tidak kira sama ada dalam hubungannya dengan Allah SWT mahupun hubungannya sesama manusia, malah ia merupakan antara hikmah yang paling utama di sebalik pensyariatan sesuatu ibadat dalam Islam.

Sebagai contohnya, solat fardu yang diwajibkan Allah telah dijelaskan hikmahnya di sebalik pensyariatan mendirikan solat sebagaimana Firman Allah SWT:

وَاَقِمِ الصَّلٰوةَۗ اِنَّ الصَّلٰوةَ تَنْهٰى عَنِ الْفَحْشَاۤءِ وَالْمُنْكَرِ

“Dan dirikanlah solat (dengan tekun), sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan yang keji dan mungkar.” (Surah Al-Ankabut, ayat 45)

Begitu juga hikmah amalan zakat melalui Firman Allah SWT :

خُذْ مِنْ اَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيْهِمْ بِهَا وَصَلِّ عَلَيْهِمْۗ اِنَّ صَلٰوتَكَ سَكَنٌ لَّهُمْۗ وَاللّٰهُ سَمِيْعٌ عَلِيْمٌ

“Ambillah (sebahagian) daripada harta mereka menjadi sedekah (zakat) supaya dengannya kamu membersihkan mereka (daripada dosa) dan mensucikan mereka (daripada akhlak yang buruk) dan doakanlah untuk mereka kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka.

Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Surah At-Taubah, ayat 103)

Ruang lingkup akhlak dalam Islam adalah mencakupi seluruh kehidupan kerana akhlak merupakan simbol kepada amalan kerja dan perlakuan di dalam hidup.

Justeru amalan menolong orang lain adalah akhlak, kerja untuk menyara dirinya dan ahli keluarganya juga adalah akhlak, beriman kepada Allah dan menyembah-Nya adalah akhlak.

Jelas di sini bahawa Islam daripada pelbagai dimensi dan sudut merupakan Ad-din yang amat menitikberatkan aspek kedamaian. Perlu ditegaskan bahawa kedamaian dan kesejahteraan yang diimpikan itu hanya akan tercipta jika Islam difahami, dihayati dan diamalkan sepenuhnya dalam setiap aspek kehidupan manusia.

Sumber : Harian Metro