Israel ‘Koyak’ dengan Filem “Farha” di Netflix

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Aktivis pro Palestin menolak kenyataan Israel berkenaan filem ‘Farha’ yang disiarkan di Netflix. Filem tersebut mendedahkan tentang realiti sebenar tragedi Nakba yang terjadi pada tahun 1948 di Palestin.

Pihak Israel berkata, filem yang diarahkan oleh pengarah Darin Sallam tersebut, “mencipta naratif yang palsu” tentang Nakba, dimana lebih dari 700,000 rakyat Palestin dibuang negara sebelum tanah tersebut dipanggil Israel.

Di dalam filem tersebut, seorang remaja perempuan menyaksikan keluarganya dibunuh, ketika askar zionis menyerang kampungnya pada tahun 1948.

Filem yang berdasarkan peristiwa sebenar itu, telah dipertontonkan di banyak festival filem di seluruh negara dan disiarkan di Netflix bermula 1 Disember.

“Hairan apabila memikirkan Netflix bersetuju untuk menyiarkan filem yang menyebarkan maklumat palsu dan beragenda untuk menentang askar Israel,” kata Avigdor Lieberman, pelampau kanan Menteri Kewangan Israel, mengkritik filem tersebut.

Sentimen ini dikongsi dengan Menteri Kebudayaan Israel, Hili Topper yang mengatakan penyiaran filem tersebut di pawagam Israel adalah sesuatu yang “memalukan”, selain berkata filem tersebut menyebarkan “penipuan dan fitnah”.

Lieberman juga berkata dia berkemungkinan akan menarik balik dana yang disumbangkan ke teater Arab-Hebrew di Jaffa kerana menayangkan filem tersebut.

Namun, kaum Palestin dan penyokong mereka memberi sokongan padu terhadap filem tersebut, dan menyatakan bahawa segala yang ditunjukkan di dalam filem itu benar-benar berlaku di dunia realiti.

‘Tidak takut menyatakan kebenaran’

Sallam, yang berketurunan Palestin, membuat filem tersebut selepas mendengar cerita ayahnya semasa usianya masih muda. Katanya, cerita itu berdasarkan peristiwa sebenar yang telah berlaku.

Cerita tersebut terngiang-ngiang di dalam kepalanya, berkemungkinan kerana dia mempunyai klaustrofobia dan takut dengan ruang sempit.

Kisah kanak-kanak yang terperangkap di dalam ruangan sempit dan menyaksikan kekejaman adalah perkara yang dapat difahaminya. Oleh itu, Sallam membuat keputusan untuk memasukkan elemen-elemen tersebut kedalam filemnya.

“Berani kerana benar,” katanya apabila diwawancara oleh media pada 2021, ketika filem itu pertama kali ditayang di Festival Filem Antarabangsa Red Sea.

“Sebab itu saya membuat keputusan untuk mengarahkan filem ini. Bukan kerana saya kuat politik, tapi kerana saya ingin memberitahu cerita yang saya dengari,” katanya.

Bagi Sallam, perkongsian cerita itu adalah misi peribadinya.

“Saya mahu penonton merasai pengembaraan remaja perempuan ini. Saya mahu mereka melihat bahawa Palestin dahulunya adalah tanah yang dipenuhi manusia dan mereka hanya menjalani hidup mereka seperti orang lain sebelum kehidupan mereka yang tenang diganggu,” katanya lagi.

Menyokong Filem Tersebut

Ramai yang menyokong Sallam dan memuji filem tersebut kerana peristiwa yang berlaku di Palestin pada tahun 1948 yang lalu, jelas digambarkan.

Askar Zionis menggunakan taktik yang dipanggil ‘dual tactic’ untuk menyerang perkampungan di Palestin, supaya orang ramai keluar dari negara tersebut.

Diantara penyokong filem tersebut termasuklah Rohan Talbot, yang bekerja untuk Medical Aid for Palestinians, iaitu organisasi yang membantu rakyat Palestin.

“Bagus Netflix kerana menyiarkan filem ini, saya berharap filem ini tidak jatuh kerana kempen-kempen anti yang menentang suara-suara Palestin,” katanya.

Ahmed Eldin, bekas wartawan Al Jazeera juga menyuarakan sokongannya terhadap filem itu.

“Israel berada dalam keadaan panik apabila ‘Farha’ iaitu filem yang membuka mata awam terhadap peristiwa Nakba yang berlaku pada 1948 dari pandangan remaja perempuan itu tular,” tulisnya.

Ramai yang tidak sabar untuk menonton filem tersebut dan memuji Netflix kerana menyiarkan pespektif Palestin.

“Saya belum menonton Farha lagi kerana hati saya masih belum kuat, tetapi saya gembira kerana Netflix menyiarkan koleksi filem palestin. Harap-harap perkara ini dapat diteruskan lagi kerana banyak lagi filem dan dokumentari Palestin di luar sana,” kata salah seorang pengguna media sosial.

Peristiwa Nakba yang banyak didokumentasikan, tidak disiarkan secara meluas di Israel.

Beberapa orang pakar sejarah di Israel, termasuklah University of Exeter academic Ilan Pappe, telah merekodkan dengan terperinci mengenai keganasan Israel sejak dari sebelum hingga negara Israel ditubuhkan.

Sumber: Middle East Eye