Istana Negara, Bangunan Ikonik Sekitar KL Disinari Cahaya Jingga

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR – Istana Negara dan beberapa lokasi mercu tanda di ibu negara dilimpahi cahaya berwarna jingga malam ini sebagai tanda sokongan sempena sambutan Hari Keselamatan Pesakit Sedunia 2022 hari ini.

Sinaran cahaya jingga menerangi tiga lokasi strategik di sekitar Istana Negara bermula 8 hingga 10 malam iaitu Pintu Gerbang Utama, Dataran Kawad dan Kubah Anjung Utama.

Tinjauan Bernama mendapati, bangunan ikonik seperti Menara Kuala Lumpur mula disinari cahaya berwarna jingga seawal 7.30 malam dan ia jelas kelihatan dari Istana Negara.

Pada Mei 2020, Istana Negara turut disinari cahaya biru di waktu malam sebagai tanda menghargai pengorbanan petugas barisan hadapan negara dalam memerangi wabak COVID-19.

Ketua Penolong Pengarah Kanan Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Dr Siti Nor Emyliana Su’aif, berkata program yang diraikan di serata dunia itu adalah resolusi serta usaha dalam meningkatkan kesedaran terhadap keselamatan pesakit.

“Warna jingga dipilih sebagai warna rasmi bagi Hari Keselamatan Pesakit Sedunia sekali gus menjadi simbol Perlindungan Kesihatan Sejagat. Fokus bagi sambutan tahun ini adalah ‘Medication Without Harm’,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata, warga kota boleh memberikan sokongan kepada program berkenaan dengan menyertai pertandingan fotografi sempena ‘KL in Orange’ malam ini.

“Sokongan boleh ditunjukkan dengan memuat naik gambar monumen dalam media sosial dan tarikh tutup pertandingan adalah pada 20 September ini. Sijil penyertaan akan diberikan kepada 10 peserta terbaik,” katanya.

Pada Isnin lalu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam hantaran di Facebook beliau berkata, tiga lokasi ikonik iaitu KLCC Lake Symphony Fountain, Menara Kuala Lumpur dan Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan disinari dengan penyalaan lampu berwarna jingga.

Selain itu, Hospital Kuala Lumpur (HKL), Hospital Rehabilitasi Cheras, Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan dan Institut Perubatan Respiratori turut menyertai program solidariti itu.

Hari Keselamatan Pesakit Sedunia disambut pada 17 September setiap tahun bertujuan menyeru perpaduan global dan tindakan bersepadu oleh semua pihak untuk meningkatkan keselamatan pesakit serta mengiktirafnya sebagai keutamaan kesihatan global.

Sumber : BERNAMA