KOTA BHARU – Isteri kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kubor, Wan Roslan Wan Hamat, meninggal dunia petang tadi.
Allahyarhamah Wan Norihan Wan Ab Rahman menghembuskan nafas terakhir jam 6.55 petang tadi di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.
Difahamkan, Allahyarhamah meninggal dunia akibat masalah paru-paru berair yang dihadapi selepas menjalani pembedahan jantung baru-baru ini.
Perkara itu dimaklumkan oleh pengendali Facebook Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri sebentar tadi.
“Isteri YB Wan Roslan Wan Hamat, Almarhumah Wan Norihan binti Wan Ab Rahman sudah kembali ke Rahmatullah jam 6:55 petang pada 16 Julai 2022.
“Semoga roh arwah ditempatkan bersama-sama orang yang beriman,” katanya menerusi Facebook.
Susulan muat naik status itu, Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan orang ramai mengucapkan takziah kepada keluarga EXCO berkenaan.
Sumber: BERITA HARIAN