Kuantan: Sudah wujud sejak 21 tahun lalu dan kelebihan itu menjadikan Shah Ayam Panggang Madu Berempah Original istimewa dan menjadi pilihan penggemar ayam panggang di daerah ini pada setiap Ramadan.
Mengekalkan resipi sama, turun-temurun dari Melaka, pengusahanya, Mohd Shah Khalid, 47, berkata, dia juga masih menjual hidangan itu pada harga sama seperti 2019 iaitu antara RM2 hingga RM6 walaupun menanggung kos kenaikan harga bahan mentah.
Dengan cara itu dia lebih menghargai pelanggan setianya walaupun perlu menanggung kos tinggi selepas kenaikan harga bahan mentah.
“Sejak 1 Ramadan lalu, sambutan diterima menggalakkan walaupun tidak semeriah pada Ramadan 2019.
“Bagaimanapun, saya tetap bersyukur kerana bazar Ramadan dibenarkan beroperasi.
“Walaupun jualan ayam panggang ini merosot sehingga 50 peratus berbanding 2019, kebenaran berniaga banyak membantu menjana pendapatan,” katanya.
Mohd Shah berkata, pada 2019, dia mampu menjual 700 ekor ayam setiap hari, namun kini jualannya hanya antara 350 hingga 400 ekor sehari.
Katanya, seekor ayam akan dipotong empat dan diperap menggunakan rempah khas sebelum dipanggang.
Menurutnya, sebanyak lapan lokasi jualan ayam panggangnya tahun ini iaitu di Taman Tas, Jaya Gading, Sungai Isap, Kempadang, Peramu, Beserah, pekarangan Stadium Darul Makmur dan tapak parkir Kompleks Majlis Bandaraya Kuantan (MBK).
“Biasanya orang ramai mula membeli pada jam 4 petang hinggalah 7 malam. Dengan mengekalkan harga seperti sebelum ini, saya percaya pelanggan akan berpuas hati dan jualan terus dapat sambutan,” katanya.
Sumber: My Metro