Isu Bakar Al-Quran: Malaysia Ambil Pendekatan Edar Sejuta Naskhah Al-Quran Ke Seluruh Dunia

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

PUTRAJAYA – Kerajaan telah memanggil Duta Besar Sweden untuk menyatakan bantahan terhadap tindakan biadab pemimpin parti politik sayap kanan Denmark, Rasmus Paludan yang bertindak membakar al-Quran di negara itu.

Jelas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, malah Malaysia akan mengambil pendekatan yang dianggap paling memberikan faedah kepada Islam iaitu dengan mengedarkan lebih sejuta naskah al-Quran ke seluruh dunia.

“Insya-Allah (akan dilakukan) dalam masa yang singkat mengikut peringkat… untuk mencetak dan mengedar satu juta Quran ke seluruh dunia.

“Disusuli dengan beberapa program ke arah penghayatan dan pemahaman Quran dengan mesej dan risalah yang jelas,” katanya ketika ditemui selepas hadir pada program Quranic Arts Festival di Kompleks Nasyrul Quran, di sini hari ini.

Jelasnya lagi, bagi tujuan itu Malaysia juga akan bekerjasama dengan negara-negara Islam yang lain untuk menyelaraskan hasrat tersebut dengan lebih berkesan.

Sebelum ini beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah mengadakan siri demonstrasi termasuk di hadapan kedutaan Sweden Sweden di bangunan Hampshire Place di Kuala Lumpur sebagai membalas tindakan biadab ahli politik negara tersebut.

Minggu lalu, Paludan yang merupakan pemimpin parti politik sayap kanan Denmark Stram Kurs, bertindak membakar al-Quran menggunakan pemetik api ketika menyertai bantahan di hadapan Kedutaan Turkiye di Stockholm mencetuskan kemarahan umat Islam di seluruh dunia.

Malah di Malaysia, lebih 500 individu berhimpun dari Masjid As-Syakirin KLCC semalam dan berarak ke kedutaan Sweden kira-kira jam 2.30 petang dengan diiringi petugas AMAL PAS sambil melaungkan takbir.

Perhimpunan turut disertai beberapa pemimpin Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) serta Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan badan bukan kerajaan (NGO) Islam yang lain.

Selasa lalu Timbalan Presiden Majlis Senator Malaysia (MSM), Datuk Razali Idris turut mengajak rakyat terutama umat Islam memboikot barangan buatan Sweden sebagai tindak balas terhadap tindakan biadab Paludan.

Sumber : AWANI