Isu Ekonomi, COVID-19 Perlu Jadi Keutamaan Kabinet Baru

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU – Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengharapkan barisan Kabinet ‘Keluarga Malaysia’ yang baru dilantik memberi keutamaan untuk membebaskan negara daripada kemelut kesihatan dan ekonomi akibat pandemik COVID-19.

Katanya, beliau yakin kesemua barisan Kabinet itu akan bekerja keras bagi mencapai sasaran sebagaimana yang ditetapkan Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Bagi saya ini adalah Kabinet yang menyeluruh dibentangkan oleh Perdana Menteri.

“Kesemua Menteri dan Timbalan Menteri yang dilantik ini bertugas untuk seluruh negara.

“Memang kita agak terkilan sedikit kerana tidak ada Menteri daripada Terengganu, tapi dalam masa yang sama saya percaya barisan Menteri dan Timbalan Menteri yang ada ini akan bertugas dengan penuh keadilan untuk seluruh negara tidak kira dari negeri mana,” ujarnya kepada pemberita.

Mengulas lanjut, beliau berkata, mereka yang dilantik perlu terus bekerja untuk menyelesaikan konflik, pandemik serta krisis ekonomi yang ada dalam negara ini.

“Ada gabungan yang lama, ada gabungan yang baru, ada berlaku pertukaran kementerian.

“Saya rasa langkah itu diambil untuk memastikan urusan yang berkait dengan ekonomi dan pandemik ini tidak terjejas dan dalam masa yang sama kita ingin keluar daripada apa yang berlaku,” ujarnya.

Terdahulu, barisan Kabinet yang diumum hari ini juga memperlihatkan banyak muka lama masih dikekalkan dengan 31 menteri dan 33 timbalan menteri.

Barisan Kabinet baru ini dijadual akan mengangkat sumpah jawatan pada Isnin depan.

Sumber: TRDI News