Isu etnik Uighur: Britain, Kanada tuduh China langgar hak asasi manusia

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Setiausaha Luar Britain, Dominic Raab, di Parlimen United Kingdom. – FOTO AFP

Britain dan Kanada semalam menuduh China melanggar hak asasi manusia serta melakukan ‘barbarisme’ terhadap etnik minoriti Uighur.

Kedua-dua negara itu turut mengumumkan peraturan baharu untuk melarang import barangan yang disyaki dihasil menggunakan buruh paksa berkaitan.

Setiausaha Luar Britain, Dominic Raab, menyifatkan kesalahan yang didakwa itu sebagai amat berat.

“Ia tindakan barbarisme ngeri yang tidak sepatutnya berlaku dalam era ini, oleh salah satu anggota utama komuniti antarabangsa.

“Kita ada tanggungjawab moral untuk bertindak balas,” katanya di Parlimen.

Raab juga membentangkan pelan bagi menghalang syarikat British daripada kontrak kerajaan jika mereka didapati meraih keuntungan atau menyumbang kepada pelanggaran hak asasi manusia yang didakwa menimpa etnik Uighur di wilayah Xinjiang, China.

Langkah itu termasuk memperkasakan Akta Hamba Abdi Moden United Kingdom (UK) dengan memperkenalkan denda ke atas perniagaan yang tidak mematuhi undang-undang berkenaan, selain mengkaji semula kawalan eksport di sekitar Xinjiang.

Namun, Duta China ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran kepada Britain supaya tidak mencampuri hal ehwal negara itu.

Sementara itu, Kanada menuruti langkah Britain dengan mengumumkan larangan serupa ke atas barangan disyaki dihasil menggunakan buruh paksa di Xinjiang. –