Solat adalah ibadah yang wajib dilakukan walau dalam keadaan apa sekalipun. Banyak rukhsah yang telah disediakan, contohnya posisi solat ketika sakit, solat yang boleh dihimpunkan dalam satu waktu, serta bilangan rakaat yang boleh dipendekkan menjadi dua rakaat sahaja.
Umum mengetahui solat jama’ (menghimpunkan) dan qasar (memendekkan) boleh dilakukan dalam keadaan seseorang itu bermusafir. Namun, masih terdapat kekeliruan terjadi ketika seseorang itu ingin melakukan solat jama’ dan qasar.
Dalam perkongsian kali ini, Tzkrh ingin berkongsi tentang keadaan musafir yang khusus buat mereka yang akan pulang ke kampung. Terlebih dahulu, mari kita ketahui maksud di sebalik ‘mastautin’ dan ‘mukim’.
Maksud Mastautin
“Orang yang tinggal di suatu tempat dan tidak ada niat untuk berpindah ke tempat lain”
Maksud Mukim
Orang yang bermusafir dan tinggal di suatu tempat lebih daripada tiga hari dan tidak berniat untuk kekal selama-lamanya di situ (Rujuk Al-Muhazzab fi Fiqh Al-Imam As-Syafie, m/s 195)
Selain itu, perlu juga diketahui syarat asas untuk menunaikan solat jama’ dan qasar iaitu:
1. Perjalanan yang melebihi dua marhalah
2. Tempoh tinggal di sesuatu tempat tidak melebihi tiga hari (tidak termasuk perjalanan pergi dan pulang)
*Namun jika seseorang telah berniat dari awal untuk tinggal di tempat yang dituju melebihi empat hari, maka rukhsah untuk dia menunaikan solat jama’ dan qasar telah hilang sebaik sahaja dia sampai.
Situasi 1:
Imran berhijrah ke Kuala Lumpur untuk bekerja di sana. Tempat tinggal keluarga dan ibu bapanya pula di Kuantan, Pahang. Dia hanya pulang ke kampung sebulan sekali atau jarang-jarang sahaja. Dia tidak berniat untuk tinggal selama-lamanya di Kuala Lumpur, kerana ada keinginan untuk pulang semula menetap di kampung tetapi tidak tahu bila.
Dalam keadaan ini, Imran hanya dikira bermukim sahaja di Kuala Lumpur, dan tidak dikira bermastautin kerana mempunyai niat untuk ‘pulang semula di Kuantan, Pahang tetapi tidak tahu bila‘. Kuantan, Pahang dikiran watan bagi dirinya dan dia tidak boleh menunaikan solat Jama’ Qasar apabila pulang ke sana (walaupun kepulangan tidak lebih tiga hari atau hanya balik sekali-sekala sahaja).
Keadaan ini juga terpakai kepada para pelajar yang menyambung pelajaran jauh daripada kampung halaman. Bererti apabila pulang ke rumah bercuti, seseorang itu tidak boleh menunaikan solat jama’ dan qasar.
Manakala, apabila mereka pulang kembali ke tempat belajar/bekerja, mereka sudah tidak boleh menunaikan solat jama’ dan qasar apabila sampai. Hal ini kerana mereka sudah pulang ke tempat bermukim. Solat jama’ dan qasar boleh dilakukan sewaktu dalam tempoh perjalanan sahaja.
Situasi 2:
Amri berasal dari Terengganu, namun sudah menetap, bekerja dan berkeluarga di Kuala Lumpur selama bertahun-tahun.
Dalam keadaan ini, jika dia sudah berniat untuk menjadi warga tetap di Kuala Lumpur serta tidak berniat untuk menjadi warga tetap di kampung asal. Maka dia sudah dikira bermastautin (watan) di Kuala Lumpur, dan bermusafir apabila pulang ke kampung di Terengganu.
Dalam keadaan ini dia boleh menunaikan solat jama’ dan qasar apabila pulang ke kampung (bagi tempoh tiga hari tidak termasuk hari pergi dan pulang).
Justeru, kedua-dua keadaan ini dibezakan dengan niat seseorang itu sendiri ketika tinggal di suatu tempat. Semoga perkongsian ringkas ini dapat menghuraikan kekeliruan berkaitan solat jama’ dan qasar apabila pulang ke kampung.
(Rujukan Kitab At-Taqrirat As-Sadidah hlmn 313)
Marhalah bermaksud perhentian rehat bagi satu perjalanan seharian. Dua Marhalah ialah ukuran perjalanan yang dibolehkan seseorang itu melaksanakan solat Qasar dan Jamak.
Maksud ukuran 2 marhalah itu ialah:
“Jauh perjalanan sekira-kira dua hari perjalanan atau dua malam atau sehari dan semalam perjalanan unta yang membawa barang-barang dagangan ( barat-barat dagangan yangberat di atasnya).” (Rujukan Kitab Matlak Al-Badrain hlmn 92)
“Perjalanan selama dua hari (dua siang) atau dua malam atau sehari semalam dengan unta yang membawa barang dagangan yang berat.” (Rujukan Idaman Penuntut 1/90)
“Perjalanan dua hari atau dua malam atau sehari semalam jika menunggang unta.” (Rujukan Zain ATH-Tholib 1/209)
Manakala jika dirujuk pada Kamus Dewan Bahasa Edisi Keempat hlmn 999, marhalah bermaksud ukuran jarak yang lebih kurang 28 batu atau 45.06 km.
Adapun dua marhalah mengikut ukuran zaman sekarang adalah antara 85km – 90km atau bersamaan 56 batu.
Secara amnya, ukuran 1 marhalah = 2 barid = 24 mil hasyimi (8 farsakh). 1 mil = 1000 depa. Satu depa = empat hasta. Satu hasta = 46.656 cm. Ini bermakna satu depa = 186.624cm (46.656 x 4). Maka 1 mil = 6000 ribu hasta bersamaan 186.624cm (1866.24 meter atau 1.866km) atau 24 jari melintang. Oleh itu, satu marhalah = 24 mil = 44789.76 meter atau bersamaan 44.790km. maka dua marhalah = 89580 meter ( lebih kurang 89 atau 90km).
Adapun menurut Almarhum Syeikh Wahbah az-Zuhaili, dua marhalah itu bersamaan 88.704 km. (Rujukan kitab al-Wajiz 1/266).
Syeikh Muhammad ‘Ali as-Shabuni menganggarkan 84 km. (Rujukan Kitab Al-Fiqh Al-Syarie al-Muyassar hlmn 131)
Menurut Syeikh Hasan bin Ahmad bin Muhammad al-Kaff, dua marhalah itu bersamaan lebih kurang 82 km dan lebih. (Rujukan Kitab Taqrirat As-Sadidah hlmn 315).
Kesimpulannya, jarak dua marhalah di dalam ukuran sekarang disebutkan oleh para ulama di dalam kitab merupakan anggaran. Berkenaan dengan ukuran ini lebih kepada Taqribi (anggaran), bukannya Tahdidi (ketepatan), maka seseorang diharuskan solat Qasar jika sudah mencapai dua marhalah (seperti mana yang telah dijelaskan di atas).
Sumber: TZKRH.COM