Isu Stoking Kalimah Allah : NGO Peduli UMMAH Terengganu Lapor Polis

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU:

Badan bukan kerajaan (NGO) Peduli UMMAH Terengganu hari ini tampil membuat laporan polis berhubung penularan isu stoking tertera Kalimah Allah yang dijual di sebuah kedai sebaneka, KK Mart.

Setiausaha Peduli UMMAH Terengganu, Syed Abdul Rahman berkata, laporan yang dibuat kira-kira jam 10 pagi di Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuala Terengganu hari ini adalah bertujuan memberi amaran untuk pengusaha ‘non-muslim’ supaya menghormati agama Islam, dan tidak cuba menimbulkan kontroversi dan perbalahan yang akan menyebabkan huru-hara.

Pihaknya juga mendesak supaya pihak Kementerian dalam Negeri terutama YB Datuk Seri Saifuddin Nasution untuk membuka kertas siasatan serta-merta di bawah Akta 3R, kerana ia jelas berkait dengan penghinaan terhadap agama.

Beliau juga mempersoalkan kejadian yang berlaku sejak 14 Mac lalu itu masih belum mendapat apa-apa kenyataan hasil siasatan daripada pihak berwajib.

Susulan permohonan maaf yang telah dibuat oleh Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Super Mart iaitu Datuk Seri Dr KK Chai baru-baru ini, beliau juga menyifatkan ia tidak ikhlas dan dibuat untuk menjaga perniagaan semata.

“Permohonan maaf sahaja tidak mencukupi. Tindakan tegas perlu diambil”

“Bagi umat Islam, sekiranya kamu sayang akan agama kamu, maka boikotlah seluruh perniagaan KK Mart ini seperti mana kita memboikot produk barangan Zionis”, serunya.

“Kami orang Islam, kami tiada masalah dengan kalian. Kami diajar untuk menghormati sembahan dan agama kalian.”

Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai untuk memboikot perniagaan KK Mart dan mengingatkan golongan bukan Islam supaya lebih menjaga sensitiviti, tidak cuba menyalakan api permusuhan, menghormati agama masing-masing dan terus hidup dalam keadaan harmoni.

– UNIT BERITA MANIS FM