PUTRAJAYA — Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) yang sebelum ini di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) kini diletakkan di bawah Kementerian Komunikasi, kata menteri berkenaan Fahmi Fadzil.
Fahmi yang merupakan Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini hari ini.
Semalam, Anwar ketika mengumumkan rombakan Kabinet pertama Kerajaan Perpaduan mengumumkan penstrukturan semula Kementerian Komunikasi dan Digital yang dipisahkan kepada Kementerian Komunikasi dan Kementerian Digital.
Fahmi dinamakan sebagai Menteri Komunikasi manakala Ahli Parlimen Damansara Gobind Singh Deo yang juga bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia sebagai Menteri Digital.
Fahmi berkata Pertubuhan Berita Nasional Malaysia, Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak, Jabatan Penerangan (JaPen), Jabatan Penyiaran, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dan MyCreative Ventures adalah di bawah Kementerian Komunikasi.
Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), MYNIC Bhd dan Jabatan Perlindungan Data Peribadi akan dipindahkan ke Kementerian Digital.
“Digital Nasional Bhd (DNB) masih ada perbincangan dan akan diputuskan kemudian,” katanya dalam sidang media di sini hari.
— BERNAMA