Jabatan Perhutanan rampas kayu Merbau bernilai RM15,000

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuala Terengganu: Cubaan dua lelaki membawa kayu Merbau menggunakan tongkang dari Pulau Redang di sini semalam terbantut selepas kegiatan mereka disedari pihak berkuasa.

Selain menahan dua lelaki yang juga pemilik kayu berusia 46 tahun dan pemilik tongkang berusia 39 tahun, Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu turut merampas 32 keping kayu pelbagai saiz dan dua tual kayu bulat jenis Merbau bernilai RM15,000 dalam operasi jam 4.30 petang.

Roslan Rani

Pengarahnya, Roslan Rani berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan sebuah tongkang dipercayai membawa muatan hasil hutan dari Pulau Redang sebelum anggota digerakkan ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, pihaknya berjaya menjejaki tongkang berkenaan sebelum mengekori tongkang itu sehingga ke Jeti Kampung Bukit Datu, Kuala Nerus, jam 4.30 petang semalam.

Katanya, pemeriksaan lanjut menjumpai 32 keping kayu pelbagai saiz dan dua tual kayu bulat jenis Merbau dan dua lelaki yang ditahan gagal menunjukkan dokumen kebenaran dan pemilikan kayu yang sah.

“Siasatan awal mendapati kayu itu dibawa dari Pulau Redang ke Kuala Terengganu bagi tujuan pembuatan perabot.

“Semua kayu yang dirampas dan tongkang disita manakala dua lelaki terbabit ditahan untuk siasatan lanjut sebelum dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya.

Roslan berkata, kes disiasat mengikut Enakmen Perhutanan Negara (Penerimaan-pakai) 1986 Negeri Terengganu mengikut peruntukan Seksyen 68 di mana terdapat hasil hutan dalam milikannya atau kawalannya tanpa memiliki pas bagi pemindahan hasil hutan dan Seksyen 84 (1) iaitu yang memiliki atau mengawal hasil hutan tanpa membayar royalti, ses atau caj-caj lain yang menyalahi undang-undang.

Katanya, kedua-dua lelaki terbabit boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak kurang daripada lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, Roslan berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan kesalahan dibawah Akta Perhutanan Negara 1984.

Katanya, pihaknya sentiasa melakukan operasi dan penguatkuasaan walaupun negara berada dalam sekatan pergerakan penuh (SPP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 bagi memastikan penguatkuasaan undang-undang berkaitan dengan kesalahan hutan dan jenayah alam sekitar dapat dikawal dan dibanteras.

“Kita sentiasa mengalu-alukan maklumat awam dan orang ramai kini dilihat semakin berani untuk tampil menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penerokaan serta pencerobohan hutan secara haram,” katanya.

Sumber: My Metro