KOTA BHARU – Jabatan Pertanian Kelantan mengambil sampel durian Musang King dari beberapa kebun sekitar Tanah Merah serta Jeli yang dilaporkan diserang penyakit misteri sehingga menyebabkan buah itu menjadi buruk dan berulat, untuk dianalisis di makmal.
Pengarahnya, Norbahani Zakaria, berkata keputusan ujian itu akan dimaklumkan segera sebaik saja punca kejadian dapat dikenal pasti, sekali gus membolehkan pihaknya memberi nasihat mengenai langkah terbaik boleh diambil bagi mengatasi masalah berkenaan.
Sambil menjelaskan sampel terbabit diambil sejak Rabu lalu, beliau berkata, hasil tinjauan dan pengamatan awal mendapati situasi itu berlaku akibat kelembapan kebun yang tinggi disebabkan hujan berpanjangan mulai Februari lalu.
“Saya bersama pegawai Biosekuriti Tumbuhan Kelantan segera turun padang untuk melihat sendiri keadaan sebenar tanaman pengusaha durian terbabit, selain mengambil tindakan yang sepatutnya.
“Hasil siasatan awal selepas beberapa kebun dilawati mendapati kadar atau peratus kerosakan adalah berbeza, bergantung pada keadaan kebun dan pengurusan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Justeru, beliau berkata, pihaknya akan cuba membantu sebaik mungkin untuk mengkaji punca sebenar kejadian itu, di samping mengharapkan kerjasama baik daripada pengusaha tanaman bagi menyelesaikan masalah terbabit.
Semalam, media melaporkan hampir 100 pengusaha durian Musang King di Tanah Merah serta Jeli mendakwa mengalami kerugian lebih RM1 juta apabila buah di kebun mereka mengalami kerosakan akibat penyakit misteri.
Tinjauan ke beberapa kebun durian di daerah terbabit mendapati majoriti pengusaha mengeluh, selain menunjukkan durian menjadi buruk dan berulat yang menjejaskan rasa serta kualiti buah terbabit.
Malah, pengusaha durian terbabit mendakwa setiap pokok yang sebelum ini boleh menghasilkan hampir 500 biji durian untuk satu musim, kini hanya mampu menghasilkan beberapa biji buah yang sempurna untuk dijual.
Sumber: BERITA HARIAN