Ibu ialah orang yang menyayangimu sepenuh hati. Ayah ialah seorang yang sanggup melakukan apa sahaja untuk melihatmu tertawa. Kasih sayang dan pengorbanan itu bermula saat kau masih berbentuk segumpal darah di dalam rahim seorang ibu.
Tiada kata-kata yang mampu mengungkapkan setinggi kasih sayang mereka kepada anak-anaknya. Bahkan, tiada usaha yang boleh dilakukan untuk membalas jasa mereka.
Pengorbanan yang telah mereka tumpahkan kepada anak-anak itu sangat besar dan tinggi, setinggi gunung. Namun, sejauh mana anda sebagai anak sanggup berkorban dan berusaha untuk menggembirakan hati ibu bapa anda.
Sekali pun mereka berdua tiada lagi di muka bumi ini, berusahalah untuk tetap mengirimkan pahala kepada mereka sebagai salah satu cara untuk membalas jasa mereka. Sedekahkan Al-Fatihah kepada mereka dan doakan keampunan dosa mereka kerana doa dari anak yang soleh itu tidak pernah terhalang.
Untuk anda yang masih mempunyai ibu bapa, hargailah mereka. Dalam tidak sedar, anda sedang membesar dan membina cita-cita, namun ibu bapa anda juga sedang menjengah usia senja.
Jadi, entri kali ini akan memberikan beberapa tips yang boleh dilakukan untuk anda berusaha menjalankan tanggungjawab anda kepada orang tua anda sedikit demi sedikit.
1.Jauhi Perkataan Yang Menyakiti Mereka
Mafhum: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan ‘Ha’ dan janganlah engkau menengking menyergah mereka tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).” (Surah Al-Isra’, 17:23)
2.Bersikap Tawaduk (Merendah Diri) Kepada Mereka
Mafhum: “Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka dengan berkata): “Wahai tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.” (Surah Al-Isra, 17:24)
3.Tidak Mendahului Mereka Dalam Berkata-Kata
Maksud: “Dari Abdullah ibn Umar RA, beliau berkata: “Kami pernah bersama Nabi SAW di Jummar, kemudian Nabi Bersabda: ‘Ada sebuah pohon yang ia merupakan perumpamaan seorang muslim.” Ibn Umar berkata: “Sebetulnya aku ingin menjawab; pohon kurma. Namun, kerana ia yang paling muda di sini, maka aku diam.” Lalu Nabi SAW pun memberi tahu jawapannya kepada orang-orang; bahawa ia adalah pohon kurma.” (Hadis Riwayat Muslim, 2811)
Ibnu Umar berkelakuan sedemikian kerana pada waktu itu adanya para sahabat lain yang lebih tua usianya walau bukan orang tuanya. Jumhur ulama membahaskan bahawa, adalah lebih baik untuk menghormati ibu bapa dengan tidak menyampuk dan mendahulukan ucapan mereka.
4.Segera Menyahut Seruan Mereka
Maksud: “Suatu hari datanglah ibu Juraij dan memanggil anaknya ketika ia sedang melaksanakan solat. “Wahai Juraij.” Juraij lalu bertanya dalam hatinya: “Apakah aku harus memenuhi panggilan ibuku atau meneruskan solatku?” Rupanya dia mengutamakan solatnya. Ibunya lalu memanggil untuk yang kedua kalinya. Juraij kembali bertanya di dalam hati. “Ibuku atau solatku?” Rupanya dia mengutamakan solatnya. Ibunya memanggil untuk kali ketiga. Juraij bertanya lagi dalam hatinya; “Ibuku atau solatku?” Rupanya dia tetap mengutamakan solatnya. Ketika sudah tidak menjawab panggilan, ibunya berkata: “Semoga Allah tidak mewafatkanmu wahai Juraij sampai engkau melihat wajah pelacur.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 25)
Hukum menyahut seruan ibu ketika solat sunat adalah wajib lebih-lebih lagi jika kita mengetahui bahawa ibu akan berkecil hati atau marah jika tidak menyahut.
5.Jangan Kedekut Dengan Rezeki
Maksud: “Mulailah dari dirimu sendiri, engkau memberi nafkah kepada dirimu sendiri. Jika ada lebih, maka untuk keluargamu. Jika ada lebih maka untuk kerabatmu.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 997)
6.Ziarahi Kubur Dan Doakan Mereka
Maksud: “Dulu, aku pernah melarang kalian untuk menziarahi kubur. Namun, sekarang ketahuilah hendaknya kalian menziarah kubur kerana ia dapat melembutkan hati, membuat air mata berlinang dan mengingatkan akan kalian terhadap akhirat. Namun, perlu dijaga akan perkataan semasa berziarah.” (Hadis Riwayat Al-Hakim, no. 1393)
Tuntasnya, mencintai ibu bapa itu bukan sekadar pada lisan dan hati, namun perlu didasari perbuatan yang soleh untuk mereka.
Sumber: TZKRH.COM