Johor Bharu: Individu yang gagal menghadiri tarikh janji temu vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) perlu melakukan penjadualan semula menerusi aplikasi MySejahtera.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, langkah itu bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), sekali gus mencapai sasaran kerajaan untuk memvaksin 80 peratus rakyat dan mendapat imuniti kelompok.
“Jumlah terkumpul individu gagal menghadiri tarikh janji temu vaksin mereka akan dimaklumkan Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKAV), minggu hadapan.
“KKM terima laporan harian terdapat individu gagal hadir janki temu vaksin mereka atas pelbagai sebab antaranya tiada pengangkutan atau kerana takut untuk disuntik.
“Bagaimanapun, kita mahu mereka ini (gagal hadir janji temu vaksin) melakukan penjadualan semula di aplikasi MySejahtera. Ia tidak jadi masalah dan diterima demi kita mencapai imuniti kelompok,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melawat PPV Mega di Pusat Konvensyen Antarabangsa Johor Bahru (PERSADA), di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Dr Adham berkata, kerajaan tidak berhadapan sebarang masalah akibat kegagalan individu menghadiri janji temu vaksin mereka.
Katanya, ia berikutan KKM sudah mempunyai strategi penyimpanan vaksin yang baik supaya ia tidak rosak, sekali gus berlakunya pembaziran.
“Bekalan vaksin tersedia itu boleh digunakan untuk penerima suntikan pada keesokan harinya kerana KKM ada kaedah penyimpanan vaksin khas sekiranya ada penerima gagal hadir janji temu mereka.
“KKM ada kaedah khas memanggil senarai nama lain dalam MySejahtera bagi menggantikan mereka yang gagal hadir sama ada panggilan secara manual atau menerusi Pejabat Kesihatan Daerah,” katanya.
Ditanya mengenai pendaftaran vaksin secara automatik seperti dimaklumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, Dr Adham berkata, KKM sedang mengusahakan kaedah terbaik pelaksanaan pendaftaran automatik.
“Setakat ini kita ada lima kaedah pendaftaran vaksin, termasuk menggunakan aplikasi MySejahtera, daftar secara hotline dan laman web KKM, namun ia menggunakan teknologi.
“KKM melaksanakan kaedah melakukan senarai nama pesakit kronik dirawat sama ada di klinik kesihatan, hospital awam selain hospital swasta untuk dipanggil untuk janji temu vaksin.
“Kita sedang melaksanakan kaedah pendaftaran secara bersemuka dengan pergi ke kawasan pedalaman dan sukar dicapai.
“Ini dilakukan Pejabat Daerah dan ejen basmi Covid-19 yang diselia Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dengan menggunakan pasukan PPV bergerak,” katanya.
Sumber: My Metro