Jaga Akhlak Musim Pilihan Raya

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Bahang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kian terasa. Bukan sahaja rakyat negeri Melaka sahaja yang terlibat dalam proses memilih pemimpin negeri mereka, malah orang lain di luar Melaka turut terlibat sama secara tidak langsung. 

Ramai orang yang ingin turut serta dalam menentukan tampuk pemerintahan negeri Melaka. Terdapat juga sesetengah orang yang sentiasa sibuk mencari maklumat daripada internet bagi mendapatkan informasi mengenai pihak yang terbabit dalam pilihan raya kali ini. 

Hakikatnya situasi ini timbul daripada perbuatan pemimpin itu sendiri yang mempunyai percaturan masing-masing. Pemimpin perlu bertanggungjawab sepenuhnya atas apa yang bakal berlaku selepas ini. 

Suasana pilihan raya adalah suasana pertandingan. Masing-masing cuba menawan hati pengundi dengan cara yang tersendiri. Pelbagai cara dan pendekatan yang digunakan untuk menyerlahkan kemampuan individu dan parti yang terbabit untuk mentadbir bumi yang tercinta ini. 

Dalam suasana sebegini, setiap orang yang terbabit dalam proses pilihan raya perlu diingatkan mengenai beberapa perkara yang perlu diambil perhatian. Lebih-lebih lagi sebagai pengundi Muslim, kita tidak boleh mudah mengikut suasana dan keadaan sekeliling. 

Sekiranya berlaku situasi yang bertentangan dengan ketetapan Islam, maka kita wajib memperbetulkan situasi terbabit. Sekiranya kita tidak mampu untuk membetulkannya, maka wajib untuk kita menyelamatkan diri daripada terjerumus dalam kemurkaan Allah SWT. 

Fitnah adalah perkara utama yang perlu dielakkan dalam suasana pilihan raya. Perkara ini perlu dijauhkan oleh pihak yang terbabit dan pihak pengundi. Perbuatan melemparkan tuduhan tidak berasas kepada pihak tertentu adalah tidak dibenarkan dalam Islam. 

Allah SWT sudah memberi amaran kepada hamba-Nya supaya tidak sesekali menyebarkan tuduhan tidak benar kepada sesama manusia. 

Tatkala menyaksikan suasana pilihan raya di Malaysia, rata-rata pertandingan berlaku membabitkan sesama Muslim daripada parti yang berbeza. Dalam hal ini, penyokong setiap parti perlu sedar bahawa walaupun mereka berbeza pendapat dan pegangan, mereka tetap bersaudara. 

Perpecahan dalam kalangan umat Islam pastinya menampakkan kelemahan Islam. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan janganlah kamu berbantah-bantah (berselisihan); kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah berserta orang yang sabar.” (Surah al-Anfal, ayat 46)

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini kerana kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.” (Surah al-Hujurat, ayat 6)

Umat Islam perlu bijak dalam menerima maklumat. Pastikan setiap maklumat yang diterima sahih sebelum mempercayainya. Penggunaan internet untuk menyebarkan berita juga perlu dilakukan dengan cara berhemah. Terdapat sesetengah pengguna menggunakan internet secara tidak beretika dengan menghamburkan kata-kata kesat dan mendedahkan berita yang membuka keaiban individu tertentu.

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya jika kamu mencari-cari keaiban orang lain, bererti kamu akan merosakkan mereka atau setidak-tidaknya hampir (pasti) merosakkan mereka itu” – (Hadis riwayat Abu Dawud). 

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Antara ciri keindahan Islam seseorang ialah dia meninggalkan apa yang tidak perlu baginya.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Pilihan raya adalah medan untuk menentukan pemimpin yang berwibawa. Ia merupakan satu perkara baik, justeru jangan proses ini dicemari dengan perkara yang tidak baik dan merugikan umat Islam. 

Selain mendepani ujian memilih pemimpin, kita masih berdepan dengan cabaran wabak Covid-19. Dalam apa juga keadaan, pastikan pematuhan SOP sentiasa diikuti. Jangan ambil mudah hal ini kerana perkara yang buruk sudah pun berlaku berpunca daripada sikap tidak bertanggungjawab sesetengah orang dalam pilihan raya sebuah negeri sebelum ini.

Sumber: HARIAN METRO