Jaga Warisan Dalam Era Global

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU – Para mahasiswa diingatkan agar berusaha memelihara dan menjaga warisan seni kebudayaan bangsa terutamanya dalam ledakan teknologi maklumat serta komunikasi di zaman era global pada masa kini.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali berkata, apa yang dilakukan ini adalah sangat penting agar budaya, warisan dan seni mesti selari dengan zaman digital dan ia tidak hilang ditelan zaman.

“Sama-sama kita beri kefahaman kepada masyarakat bahawa warisan kebudayaan dan seni itu sangat bernilai terutamanya dalam menonjolkan identiti bangsa kita.

“Tak salah untuk bersaing dalam era globalisasi digital namun sejarah dan warisan budaya jangan sesekali kita tinggalkan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Galeri Digital Sanggar Seni dan Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian Persefahaman (MOU) antara Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Dan Husa Network SDN.Bhd di Laman Pusat Kesenian dan Warisan di UniSZA, semalam.

Turut hadir, Naib Canselor UniSZA, Prof. Dato’ Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni). Prof. Dr. Mohd Afandi Salleh, Pendaftar UniSZA, Ismail Musa, Pengarah Husa Network Sdn. Bhd, Sazali Mohd Noor dan Pengarah Avantsky Sdn Bhd, Wan Akmal Othman.

Yahaya menambah, pelaksanaan Galeri Digital Sanggar Seni merupakan inisiatif yang baik kerana ia dapat mempamerkan kepelbagaian bentuk kesenian dan warisan yang wujud di negeri Terengganu serta bermanfaat sebagai rujukan untuk generasi akan datang.

Menurutnya lagi, galeri digital berkenaan turut mempamerkan koleksi foto bidikan Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah iaitu koleksi hasil karya tradisional Terengganu yang mana baginda telah merakamkan peristiwa bersejarah pemerintahannya bagi mengekalkan tradisi.

“Saya yakin sekiranya usaha-usaha seumpama ini dilakukan oleh pelbagai pihak yang lain, kita akan dapat mengumpulkan satu warisan yang lebih kuat.

“Kerana warisan budaya ini merupakan budaya dan kesenian yang sangat penting, bukan sahaja untuk hari ini tetapi untuk generasi yang akan datang,” ujarnya.

Justeru itu, beliau berharap dengan pelancaran pusat itu semua pihak dapat sama-sama berganding bahu untuk menjadikan ia bergerak semakin jauh ke hadapan dan dapat membina kekuatan dengan mengumpulkan segala maklumat serta apa sahaja kesenian, kebudayaan terutama berteraskan kepada Islam.

“Mudah-mudahan pusat kesenian di UniSZA ini akan menjadi institusi yang dibanggakan oleh semua pihak,” tambah Yahaya lagi.

Sumber: My Metro